Yamaha NMAX 155 Connected 2021 dilancarkan di pasaran Indonesia, harga bersamaan RM 8,987.77

Pada tarikh 21hb. November 2020 baru-baru ini, Yamaha secara rasminya melancarkan model skuter baharu Yamaha NMAX 155 Connected 2021 untuk pasaran Indonesia. Model tersebut merupakan varian tambahan baharu kepada dua varian sedia ada iaitu Yamaha NMAX 155 Standard (Non-ABS) dan Yamaha NMAX 155 Connected ABS.

Yamaha NMAX 155 Connected 2021 sebenarnya merupakan model naik taraf untuk varian Standard, yang kini didatangkan dengan dua ciri baharu iaitu Y-Connect dan Smart Key System. Sistem brek Dual Channel ABS dan TCS (Traction Control System) pula merupakan dua ciri yang kekal eksklusif untuk model NMAX 155 Connected ABS.

Untuk pasaran Indonesia, Yamaha NMAX 155 Connected 2021 ditawarkan pada harga Rp. 31,000,000 (OTR Jakarta), bersamaan nilai RM 8,987.77 mengikut kadar semasa. Empat pilihan warna yang elegan boleh didapati untuk model skuter berkenaan seperti Prestige Silver, Maxi Signature Black & Gold, Matte Blue dan juga warna Matte Red.

Yamaha NMAX 155 Connected 2021 dilengkapi enjin Blue Core bersesaran 155cc dengan teknologi canggih Variable Valve Actuation (VVA), yang menghasilkan kuasa maksimum 15.15hp (11.3kW) 8,000rpm dengan tork maksimum 13.9Nm @ 6,500rpm. Model tersebut turut dilengkapi sistem brek cakera di bahagian depan dan belakang.