Kawasaki Ninja ZX-25R SE 2021 kini di pasaran Vietnam, harga bersamaan RM 33,461.45

Selepas pasaran Indonesia, Thailand, Jepun dan juga Filipina, Kawasaki Ninja ZX-25R SE 2021 kini dengan rasminya dilancarkan di pasaran Vietnam. Untuk pasaran negara tersebut, hanya varian SE sahaja ditawarkan, tanpa varian Standard. Harga jualannya pula ialah 189,000,000 VND, bersamaan nilai RM 33,461.45 mengikut kadar semasa.

Kawasaki Ninja ZX-25R SE 2021 untuk pasaran Vietnam didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu Metallic Black / Stardust Pearl White dan Green Lime / Ebony. Jentera sport bike itu dikuasakan enjin 250cc empat silinder dengan kuasa maksimum 44PS (45PS with Ram Air) @ 15,500rpm dan tork maksimum 21.2Nm @ 13,000rpm.

Antara teknologi canggih yang melengkapi Ninja ZX-25R termasuklah sistem Assist & Slipper Clutch, KTRC (Kawasaki Traction Control), Power Mode Selection, Centre Ram Air System, Electronic Throttle Valves, sistem brek ABS, KQS (Kawasaki Quick Shifter – berfungsi di atas 2,500rpm), di samping ciri-ciri yang tersendiri seperti Pillion Seat Cover, Smoked Windshield, Frame Slider dan Wheel Rim Tape.

Lebih dari itu, Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 dibangunkan di atas kerangka trellis serba baharu yang kukuh, dilengkapi fork depan USD dengan diameter 37 mm menggunakan teknologi SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston), dan didatangkan suspensi belakang monoshock Horizontal Back-Link dengan ciri pelarasan pra-beban.

Untuk prestasi pemberhentian maksimum yang lebih cekap, sistem brek pada model berkenaan didatangkan cakera depan tunggal dengan ukuran diameter sebesar 310 mm menggunakan “radial-mount monobloc caliper”, dan digandingkan dengan sistem brek belakang dengan cakera tunggal berdiameter 220 mm.

Kawasaki Ninja ZX-25R turut dibekalkan panel instrumen canggih yang berinformasi, sistem kunci immobiliser untuk mencegah kecurian, lampu depan LED jenis berkembar, rekaan silencer sistem ekzos yang pendek dan kapasiti tangki bahan api 15 liter. Berat motosikal tersebut bagi varian SE ialah 184 kg.

Dengan pelancaran Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 di pasaran Vietnam ini, pasaran Malaysia boleh dikatakan antara pasaran di rantau ASEAN yang ketinggalan dalam menerima kehadirannya. Juga berkemungkinan model tersebut tidak akan dilancarkan di pasaran Malaysia kerana harganya yang dijangka akan melepasi paras RM 35k.