Yamaha MT-10 2021 di pasaran USA, harga $12,999.00

Jentera hyper naked Yamaha MT-10 2021 kini diperkenalkan di pasaran USA, dan jualannya akan bermula secara rasmi pada bulan Disember 2020. Pilihan warna yang ditawarkan kali ini ialah Matte Raven Black, sama seperti model Yamaha MT-10 2020, bersama-sama warna Team Yamaha Blue yang menggantikan warna Ice Fluo.

Untuk pasaran USA, harga jualan yang ditetapkan untuk Yamaha MT-10 2021 adalah sebanyak $12,999.00, bersamaan RM 53,510.38 mengikut kadar semasa. Harga tersebut sama seperti harga untuk model tahun 2020, yang mana secara tidak langsung memberikan petunjuk bahawa spesifikasi teknikal untuk 2021 juga kekal tidak berubah.

Yamaha MT-10 2021 dikuasakan enjin bersesaran 998cc (liquid-cooled, 4-stroke, 4-valves, DOHC, 4-Cylinder) yang menghamburkan kuasa maksimum sehingga 160.4PS @ 11,500pm dengan tork maksimum 111.0Nm @ 9,000rpm (sumber dari Yamaha Motor Europe). Enjin buas tersebut kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan.

Merupakan versi naked untuk Yamaha YZF-R1, bahagian enjin, casis dan suspensi MT-10 adalah sama dengan yang digunakan oleh model supersport berprestasi tinggi itu. Enjin crossplane CP4 pada MT-10 telah ditala untuk menghasilkan kuasa tork yang tinggi bermula dari putaran mendatar rendah hingga ke putaran pertengahan.

Bahagian elektronik dan sistem kawalan pula memperlihatkan kehadiran sistem YCC-T, D-Mode, Traction Control System dan QSS (A&S clutch and Quick Shifter System). Spesifikasi lain termasuklah kerangka Deltabox dan lengan ayun aluminium ringan, panel instrumen LCD pelbagai fungsi, sistem suspensi berspesifikasi tinggi yang boleh dilaras sepenuhnya, sistem brek ABS dan tangki bahan api dengan kapasiti 17 liter.

Yamaha MT-10 2021 juga masih mengekalkan berat terdahulu sebanyak 210 kg (wet weight). Setakat ini antara khabar angin yang mengujakan mengenai Yamaha MT-10 ialah enjinnya bakal dilengkapi dengan sistem turbo. Versi turbo terbaharu yang lebih berkuasa itu dijangka akan diperkenalkan secara rasmi mulai tahun depan.