Yamaha MT-07 2021 diperkenalkan di pasaran USA, harga bersamaan RM 31,508.16

Selepas pengenalan Yamaha MT-09 2021, pasaran USA seterusnya turut menerima kehadiran model hyper naked Yamaha MT-07 2021. Perubahan utama untuk model berkenaan antaranya melibatkan rekaan lampu depan LED baharu jenis projektor, di samping kemaskini baharu di bahagian enjin, sistem ekzos dan juga sistem ECU.

Yamaha MT-07 2021 turut dilengkapi sepasang brek cakera berdiameter 298 mm di bahagian roda depan, yang kini menawarkan aspek pemberhentian yang lebih mantap. Panel instrumen digital LCD juga telah menerima naik taraf terkini dengan paparan pelbagai fungsi penting, di samping mudah dikendalikan melalui suis pada handlebar.

Untuk tunggangan yang lebih ergonomik, selesa dan mudah dikendalikan, Yamaha MT-07 2021 kini didatangkan dengan handlebar yang lebih tinggi dan lebih lebar. Suspensi dari KYB, rim aluminium yang ringan dan tayar Michelin Road 5 dalam siri 120/70ZR17 (depan) dan 180/55ZR17 (belakang), turut menjadikan pengendalian lebih cemerlang.

Dengan enjin bersesaran 689 cc (liquid-cooled, DOHC, 4-stroke, 4-valves per cylinder) yang telah menerima naik taraf terkini, kuasa yang dihamburkan kini berada pada paras maksimum 73.4PS @ 9,000rpm dengan tork maksimum 67Nm @ 6,500rpm. Enjin CP2 berkenaan kemudiannya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan yang lancar.

Untuk pasaran USA, Yamaha MT-07 2021 menawarkan tiga pilihan warna yang menarik seperti Storm Fluo, Team Yamaha Blue dan Matte Raven Black. Model berkenaan akan berada di pasaran USA mulai bulan Januari 2021, dengan tanda harga $7,699. Harga tersebut bersamaan dengan nilai RM 31,508.16 mengikut kadar tukaran semasa.