India Yamaha Motor (IYM) Pvt. Ltd. pada 20hb. November 2020 baru-baru ini telah mengumumkan kempen “Customize your Warrior” untuk model Yamaha MT-15 2021 di pasaran India. Melalui kempen tersebut, bakal pemilik boleh memilih di antara 11 pilihan warna yang boleh dipilih secara custom, termasuk 3 pilihan warna standard.
Kempen “Customize your Warrior” menggabungkan kombinasi 3 warna standard yang ditawarkan sebelum ini iaitu Ice Fluo – Vermillion, Dark Matt Blue dan Metallic Black bersama-sama 4 pilihan warna rim roda, menghasilkan 11 pilihan warna yang menarik. Dengan 3 pilihan warna sedia ada, menjadikan 14 pilihan warna keseluruhannya.
Harga yang ditawarkan adalah sebanyak ₹ 143,900 untuk model “Customize your Warrior”, bersamaan RM 7,952.69 mengikut kadar semasa. Bagi model standard yang tampil dengan 3 pilihan warna iaitu Ice Fluo – Vermillion, Dark Matt Blue dan Metallic Black, harganya ialah ₹ 139,900, bersamaan RM 7,731.63 mengikut kadar semasa.
Menurut India Yamaha Motor, tempahan untuk Yamaha MT-15 2021 versi “Customize your Warrior” telah bermula sejak tarikh pelancarannya pada 20hb. November 2020. Penghantaran akan bermula dari bulan Januari 2021, kecuali bagi model dengan pilihan warna Neon Green, yang mana penghantarannya akan bermula dari Mac 2021.
Yamaha MT-15 di pasaran India dikuasakan enjin 155cc VVA dengan transmisi enam kelajuan, dan menghasilkan kuasa maksimum 18.5PS @ 10,000rpm dengan tork maksimum 13.9Nm @ 8,500rpm. Berbanding di pasaran Malaysia, Yamaha MT-15 di pasaran India dilengkapi sistem brek dengan Single Channel ABS yang lebih cekap.
Yamaha MT-15 di pasaran India juga didatangkan ciri-ciri seperti ‘In-built Side Stand Engine Cut-Off Switch’, ‘Uni-level Seat with Grab Bar’, ‘USB Charger (optional)’ dan ‘Saree Guard’ yang merupakan ciri spesifik untuk pasaran India. Pada pendapat anda, perlukah kempen “Customize your Warrior” ini turut diperkenalkan di Malaysia?
Artikel berkaitan : Yamaha MT-15 2020 kini rasmi di pasaran Malaysia, harga jualan asas RM 11,988.00