PT. Suzuki Indomobil Sales (SIS) pada penghujung bulan Oktober yang lepas secara rasminya memperkenalkan Suzuki Address FI 2020 untuk pasaran Indonesia. Antara perubahan terkini untuk model skuter tersebut ialah penampilan warna dan grafik baharu, diikuti oleh penggunaan tayar tanpa tiub (tubeless) dan rim roda baharu.
Untuk pasaran Indonesia, Suzuki Address FI 2020 didatangkan dalam dua varian iaitu Standard dengan tiga pilihan warna yang menarik iaitu Brilliant White, Stronger Red/Titan Black dan Titan Black, sementara varian Elegant hadir dengan dua pilihan warna yang anggun yang dikenali dengan nama Mat Bordeaux Red dan Mat Black.
Selain daripada kemaskini penampilan baharu yang lebih segar, Suzuki Address FI 2020 kini turut dilengkapi tayar tanpa tiub (tubeless) bersama-sama dengan rim roda baharu bagi disesuaikan dengan spesifikasi tayar baharu berkenaan. Komponen tayar dan rim roda yang digunakan itu dikatakan sama dengan model untuk pasaran eksport.
Beralih ke bahagian enjinnya, Suzuki Address FI 2020 dikuasakan enjin bersesaran 113cc (4-stroke, 1 cylinder, air-cooled, SOHC) dengan gandingan transmisi automatik CVT. Kapasiti maksimum tangki bahan api skuter berkenaan ialah 5.2 liter, mempunyai berat kering 95 kg, ketinggian tempat duduk 755 mm dan jarak kelegaan bumi 120 mm.
Untuk aspek pemberhentian yang lebih selamat, Suzuki Address FI 2020 dibekalkan sistem brek cakera di bahagian depan dan brek jenis dram di bahagian belakang. Harga yang ditawarkan adalah sebanyak Rp 17,075,000 (RM 4,972.43) untuk varian Standard, dan Rp 17,400,000 (RM 5,067.08) untuk varian Elegant (On The Road DKI Jakarta).