WMoto V16 2020 dilancarkan di pasaran Malaysia dengan enjin V-Twin 250cc, harga asas RM15,988.00

Jenama motosikal WMoto di pasaran Malaysia dipasang dan diedarkan oleh syarikat MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. Setakat ini WMoto menawarkan tiga buah model motosikal dalam kategori kapcai iaitu WMoto VE1 110, WMoto WM110 dan WMoto Cub Classic 110. Terkini WMoto memperkenalkan model terbaharu WMoto V16 2020.

WMoto V16 merupakan sebuah model motosikal bergaya cruiser, dilengkapi enjin bersesaran 249cc (4-stroke, Air-cooled, V-Twin) dengan sistem suntikan bahan api elektronik daripada BOSCH, dan dipadankan transmisi lima kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 19hp @ 8,000rpm dengan tork puncak 19Nm @ 6,000rpm.

Model berkenaan mempunyai tangki bahan api dengan kapasiti 14 liter, berkemampuan pergi sejauh lebih 300 km dengan setangki penuh petrol. Berat keringnya pula berada pada paras 165 kg, dengan ketinggian tempat duduknya ialah 700 mm, seterusnya menyumbang kepada ciri pengendalian dan tunggangan yang mudah dan selesa.

Antara kelengkapan menarik lain yang didatangkan bersama-sama WMoto V16 untuk pasaran tempatan ini termasuklah sistem penghidup jenis elektrik, speedometer digital dan analog, sistem lampu LED yang terang, suspensi belakang dengan ciri boleh laras, brek cakera depan 320 mm dan belakang 280 mm, serta paip ekzos jenis berkembar.

WMoto V16 2020 turut dilengkapi tayar depan dan belakang masing-masing dalam siri 90/90-R18 dan 130/90-R15, dengan jarak kelegaan bumi 160 mm. Harga asasnya ditawarkan sebanyak RM15,988.00 (tidak termasuk insuran dan cukai jalan), dan didatangkan jaminan pengeluar selama tempoh 2 tahun atau 20,000 km perjalanan.