Yamaha M-Slaz pernah dikhabarkan masuk ke pasaran Malaysia, namun tidak pernah menjadi kenyataan

Sementara kita semua menantikan pelancaran model Yamaha MT terbaharu minggu depan, kita imbas kembali salah sebuah model naked yang sangat dinanti-nantikan di pasaran Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu. Model tersebut ialah Yamaha M-Slaz, diperkenalkan di pasaran Thailand secara rasmi pada tahun 2016 yang lalu.

Kemudiannya model tersebut dilancarkan di pasaran Indonesia dengan nama Yamaha Xabre, di pasaran Vietnam dan Filipina dengan nama Yamaha TFX-150, dan turut dijual di pasaran Singapura dengan mengekalkan nama Yamaha M-Slaz. Untuk pasaran Malaysia pula, seperti biasa khabar angin mengenai bakal ketibaannya mula tersebar.

Yamaha M-Slaz tampil sebagai sebuah model naked kompak dengan rupa paras yang sporty dan agresif, di samping spesifikasi dan ciri-ciri teknikal yang moden dan enjinnya yang berprestasi. Ianya dilengkapi enjin berkapasiti 150cc empat lejang SOHC dengan sistem penyejukan cecair, sistem suntikan bahan api dan transmisi enam kelajuan.

Kuasa maksimum yang dihasilkan Yamaha M-Slaz mencapai angka 16hp @ 8,500rpm dengan tork 14.3Nm @ 7,500rpm. Model tersebut seterusnya dilengkapi sistem penghidup elektrik, tangki bahan api dengan isian penuh 10.2 liter, dan berat 135 kg. Ukuran ketinggian tempat duduknya ialah 805 mm dan jarak kelegaan bumi 164 mm.

Spesifikasi dan ciri-ciri menarik lain yang melengkapi Yamaha M-Slaz termasuklah panel meter digital, lampu depan dan lampu belakang LED, suspensi depan upside-down, suspensi belakang tunggal dengan lengan ayun aluminium, forged piston & diasil cylinder, dan handle bar yang lebar dengan suis penghidup bercirikan motosikal besar.

Bagaimanapun apa yang mengecewakan ialah setelah beberapa tahun menunggu, Yamaha M-Slaz yang dikhabarkan bakal dilancarkan di pasaran Malaysia, akhirnya kekal menjadi angan-angan. Paling menghairankan, HLYM telah membawa masuk sebuah unit M-Slaz ke Malaysia, yang dijadikan sebagai unit pameran dan koleksi.

Malah beberapa media permotoran tempatan juga telah berpeluang menunggang uji model berkenaan, namun setakat itu sahaja tanpa sebarang perkembangan untuk melancarkannya di pasaran tempatan. Persoalan mengenai sebab-sebab kenapa Yamaha M-Slaz tidak dilancarkan di pasaran Malaysia, kekal misteri sehingga kini.

Hakikatnya, ini menjadikan ramai peminat motosikal tempatan kecewa kerana penantian selama beberapa tahun untuk melihat HLYM melancarkan Yamaha M-Slaz secara rasmi, tidak menjadi realiti. Tidak keterlaluan jika dikatakan HLYM sebenarnya terlepas peluang untuk menjual sebuah model motosikal yang bakal laris terjual.

Setakat ini harapan untuk melihat Yamaha M-Slaz dilancarkan di pasaran Malaysia boleh dikatakan telah tertutup rapat. Kerana di pasaran Thailand dan Filipina, model tersebut telah digantikan dengan model terbaharu Yamaha MT-15, yang dijangka bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada minggu depan. Semoga menjadi kenyataan.