Lexmoto LXR SE 125 2020 di pasaran UK, enjin 125cc, harga bersamaan RM 13,776.28

Lexmoto merupakan sebuah jenama motosikal di pasaran United Kingdom (UK), menawarkan pelbagai jenis model motosikal dan skuter pada harga yang berpatutan. Sekali pandang sudah tentu ramai peminat motosikal mengenali bahawa kebanyakan motosikal dan skuter keluaran Lexmoto ini merupakan buatan daripada negara China.

Salah sebuah model menarik keluaran Lexmoto yang ditawarkan di pasaran UK ketika ini ialah Lexmoto LXR SE 125 model tahun 2020, yang mana ianya merupakan sebuah model sport bike yang dilengkapi enjin 125cc (4 Stroke, Single Cylinder, Water Cooled, EFI) dan patuh piawaian emisi Euro 4. Enjin tersebut dipadankan transmisi 5-kelajuan.

Kuasa yang dihasilkan agak memuaskan, berada pada paras maksimum 12.1hp @ 9,500rpm dengan tork puncak 9.58Nm @6,500rpm. Dengan berat 167 kg (Mass in Running Order), Lexmoto LXR SE 125 ini dikatakan mampu mencatatkan kelajuan maksimum 110 km/j. Tangki bahan api motosikal ini pula mempunyai kapasiti 13.5 liter.

Sistem suspensi Lexmoto LXR SE 125 ini merupakan gabungan di antara fork depan jenis terbalik dengan suspensi belakang monoshock, yang pastinya menawarkan ciri pengendalian yang mantap dan selesa. Sistem brek depan terdiri daripada dua brek cakera berkembar, manakala di bahagian belakangnya ialah brek cakera tunggal.

Spesifikasi menarik lain yang dibekalkan termasuklah paparan panel meter digital, lampu signal LED, ekzos stainless steel, dan rekaannya yang sporty dan bergaya dalam pilihan skim warna tunggal merah. Untuk pasaran UK, harga yang ditawarkan adalah sebanyak £ 2,499.99, bersamaan RM 13,776.28 mengikut kadar tukaran semasa.

Lexmoto LXR SE 125 2020 ini mengingatkan kita semua kepada model Taro GP1 400R, namun dengan jumlah sesaran cc enjin yang berbeza. Ketika ini di pasaran negara kita, salah sebuah model sport bike buatan China yang tampil sporty dan berprestasi ialah CFMOTO 250SR 2020, dengan harga asasnya dari RM 15,800.00.