Versi paling terkini Honda EX5 di pasaran Malaysia diperkenalkan pada pertengahan bulan Februari 2020 yang lalu, tampil lebih segar dengan warna dan jalur grafik rekaan baharu. Model kapcai tersebut dikuasakan enjin empat lejang berkapasiti 109.17cc.
Di pasaran Kemboja, model yang hampir sama turut dijual, namun dengan sesaran enjin yang lebih besar. Ianya dikenali dengan nama Honda Dream 125, yang tampil dalam tiga pilihan warna elegan dengan sentuhan warna emas dan platinum.
Apa yang menarik mengenai model Honda Dream 125 itu ialah ianya dikuasakan enjin empat lejang berkapasiti 124.85cc, lebih besar berbanding enjin Honda EX5 di pasaran negara kita. Cuma kekurangannya ialah ianya masih dilengkapi sistem karburator.
Rekaan bahagian lampu depan (headlight) Honda Dream 125 juga didapati menarik dan sporty, bergitu juga dengan rekaan lampu belakangnya yang masih mengekalkan ciri bersepadu, tidak seperti Honda EX5 yang didatangkan lampu signal jenis terpisah.
Untuk melariskan kembali jualan Honda EX5 di pasaran tempatan ketika ini, Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (BSH) mungkin perlu menawarkannya dengan kapasiti enjin yang lebih besar bersesaran 125cc, sama seperti Honda Dream 125 di pasaran Kemboja.