Salah sebuah model terbaharu yang dilancarkan oleh QJ Motor untuk pasaran China baru-baru ini ialah QJ SRK350 2020, sebuah jentera naked yang mempunyai gaya rekaan cukup sporty dan agresif. Menariknya model tersebut juga dijangka akan dilancarkan oleh Benelli untuk pasaran global tidak lama lagi.
Antara ciri-ciri utama yang melengkapi QJ SRK350 termasuklah casis dan sistem suspensi yang ditala secara profesional untuk prestasi pengendalian cemerlang, sistem lampu LED sepenuhnya, panel instrumen TFT berwarna, suis hendal dengan lampu LED backlit, sistem brek dengan ABS dan tangki bahan api dengan kapasiti 13.5 liter.
QJ SRK350 dikuasakan enjin bersesaran 353cc (In-line two-cylinder, four-stroke, liquid-cooled) yang menghamburkan prestasi maksimum 36.3hp @ 9,000rpm dengan tork puncak 31Nm @ 7,000rpm. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan, membolehkannya mencapai kelajuan maksimum sehingga 145 km/j.
Dengan berat hanya 176 kg dan dilengkapi tayar berukuran 120/70-R17 (depan) dan 160/60-R17 (belakang), turut membolehkannya menawarkan ciri tunggangan yang lincah dan selesa terutamanya di kawasan bandar. Untuk pasaran China, harga QJ SRK350 ialah CNY 26,999, bersamaan RM 16,504.93 sahaja (kadar semasa).