Yamaha YZF-R1M 2021 diperkenalkan di pasaran USA

Seiring dengan pengenalan Yamaha YZF-R1 2021, pasaran USA pada awal September 2020 yang lepas turut menerima kehadiran Yamaha YZF-R1M 2021. Menurut Yamaha sebelum ini, YZF-R1M memiliki spesifikasi hampir sama dengan jentera MotoGP YZF-M1, seterusnya memberikan pengalaman mirip menunggang jentera perlumbaan itu.

Untuk pasaran USA, Yamaha YZF-R1M 2021 didatangkan dengan tanda harga bermula dari $26,099.00, bersamaan dengan nilai RM 107,801.92 berdasarkan kadar tukaran mata wang semasa. Model tersebut hanya tersedia dalam pilihan warna tunggal Carbon Fiber, dan boleh didapati di pasaran USA secara rasmi mulai bulan Oktober 2020.

Yamaha YZF-R1M dilengkapi enjin yang sama seperti mana yang dimiliki oleh YZF-R1, iaitu bersesaran 998cc (Liquid-cooled, 4-stroke, 4-valves, DOHC, 4-Cylinder) dengan kuasa maksimum 200PS @ 13,500rpm dan tork puncak 113.3Nm @ 11,300rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan dengan sistem Assist & Slipper Clutch.

Berbanding YZF-R1, YZF-R1M dilengkapi binaan badan unik menggunakan material gentian karbon yang ringan, yang melibatkan beberapa bahagian seperti fender depan, fairing skring penghadang angin, fairing sisi dan di bahagian ekor belakang. Selain itu ianya juga hadir dengan lencana bernombor eksklusif di atas penutup kotak udara.

Selanjutnya, Yamaha YZF-R1M 2021 dilengkapi sistem suspensi perlumbaan premium daripada Öhlins, Brake Control (BC) dengan ciri dua mod, Engine Brake Management (EBM) tiga mod, pendikit ride-by-wire APSG yang sangat ringan, sistem Launch Control (LCS) yang dioptimumkan, Up and Down Quick Shift System (QSS) dan integrasi eksklusif teknologi Communications Control Unit (CCU) untuk talaan tanpa wayar.

Di samping kelengkapan pelbagai sistem dan teknologi elektronik yang canggih, YZF-R1M turut dilengkapi sistem lampu LED sepenuhnya, panel instrumen digital pelbagai fungsi, sistem brek berprestasi tinggi dengan ABS, dan sepasang tayar Bridgestone® RS11 yang sentiasa bersedia bukan sahaja di jalanan, malah ketika memecut di litar.

Artikel berkaitan : Yamaha YZF-R1 2021 diperkenalkan untuk pasaran USA