Yamaha YZF-R1 2021 diperkenalkan untuk pasaran USA

Yamaha baru-baru ini memperkenalkan model supersport Yamaha YZF-R1 model tahun 2021 untuk pasaran USA. Hadir dalam dua pilihan warna iaitu Team Yamaha Blue dan Raven, ianya akan berada di pasaran secara rasmi mulai bulan Oktober 2020. Harga jualannya ialah $17,399, bersamaan RM72,162.35 mengikut kadar tukaran semasa.

Yamaha YZF-R1 2021 dilengkapi enjin 998cc (liquid-cooled inline 4 cylinder DOHC; 4-valves per cylinder), menawarkan kuasa maksimum 200PS @ 13,500rpm dengan tork puncak 113Nm @ 11,500rpm. Enjin tersebut digandingkan dengan sistem ride-by-wire YCC-T (Yamaha Chip Controlled Throttle), termasuklah bantuan daripada unit IMU.

Sebagai sebuah jentera yang memberi fokus kepada prestasi bertaraf litar, Yamaha YZF-R1 tampil dengan teknologi kerangka aluminium Deltabox, sistem brek berprestasi tinggi dengan ABS, sistem suspensi yang boleh dilaraskan sepenuhnya, dan tayar Bridgestone® RS11 untuk pengendalian yang cemerlang dan sentiasa terkawal.

Yamaha YZF-R1 turut dilengkapi dengan pelbagai sistem bantuan elektronik, antaranya seperti EBM (Engine Brake Management), PWR (Power Delivery Mode), TCS (Lean Angle-Sensitive Traction Control System), SCS (Slide Control System), LIF (Lift Control System), LCS (Launch Control System), dan QSS (Up and Down Quick Shift System).

Ciri-ciri lain termasuklah sistem lampu LED sepenuhnya dan panel instrumen digital TFT berwarna, dengan ciri mod jalanan dan trek. Untuk pasaran USA, Yamaha YZF-R1 2021 turut ditawarkan pelbagai aksesori antaranya seperti Tag Eliminator, Sprint Smoke Screen, Rear Seat Cowls, Frame Sliders dan GYTR Communication Control Unit.