Web Analytics
Perang harga Honda Winner X dan Yamaha Exciter 150 di pasaran Vietnam, apakah sebab sebenarnya? – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Perang harga Honda Winner X dan Yamaha Exciter 150 di pasaran Vietnam, apakah sebab sebenarnya?

Honda Winner X di pasaran Vietnam ketika ini sudah sampai ke model tahun 2020, baru saja diperkenalkan dengan kemaskini warna terbaharu pada tarikh 22hb. Ogos 2020 yang lalu. Harga untuk model berkenaan ditetapkan bermula dari VND 45,990,000 (bersamaan RM 8,232.34) sehingga VND 49,990,000 (bersamaan RM 8,948.35).

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini terdapat perkembangan menarik mengenai harga jualan untuk Honda Winner X di pasaran Vietnam, apabila berlakunya penurunan harga yang sangat ketara. Situasi yang agak mengejutkan itu telah dilaporkan secara meluas melalui media di negara tersebut, termasuk di dalam blog-blog permotoran tempatan.

Sebagai panduan, berikut ialah senarai harga rasmi untuk model Honda Winner X 2020 di pasaran Vietnam, sumber daripada laman sesawang rasmi Honda Vietnam :

  • Honda Winner X (Track Version – ABS brake) : VND 49,990,000
  • Honda Winner X (Matte Black Version – ABS brake) : VND 49,490,000
  • Honda Winner X (Camo Version – ABS brake) : 48,990,000
  • Honda Winner X (Sport Version – ABS brake) : VND 48,990,000
  • Honda Winner X (Sport Version – Normal Brake) : VND 45,990,000

Setakat ini menurut laporan dari Vietnam, Honda Winner X versi teratas seperti Camo Version, Matte Black Version dan Track Version, telah mengalami penurunan harga sehingga VND 18,000,000, menjadikan harga barunya sekitar VND 31,000,000 ke VND 32,000,000 sahaja. Ini bersamaan dengan nilai RM 5,549.09 ke RM 5,728.09.

Bagi model Honda Winner X Sport Version pula, harga terendahnya dikatakan mencapai sekitar VND 30,000,000, bersamaan RM 5,370.08. Penurunan harga untuk model Honda Winner X di pasaran Vietnam itu dikatakan disokong oleh pihak Honda Vietnam sendiri, bersama-sama dengan program diskaun oleh pihak wakil penjual.

Antara sebab-sebab utama kenapa penurunan harga Honda Winner X berlaku dengan mendadak sekali, menurut salah seorang wakil penjual di Hanoi, ianya termasuklah disebabkan pandemik Covid-19, yang menyebabkan penurunan angka jualan sehingga 50 – 60 peratus. Oleh itu bagi merancakkan kembali jualan, diskaun telah diberikan.

Pada masa yang sama, salah satu faktor yang tidak dapat dinafikan ialah situasi perniagaan motosikal Honda di Vietnam yang agak perlahan. Menurut laporan itu lagi, jualan motosikal Honda dalam bulan Julai, walau pun naik 12 peratus berbanding bulan sebelumnya, tetapi menurun 6 peratus bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Selain itu Honda Winner X juga dilaporkan masih gagal mengatasi jualan model pesaingnya iaitu Yamaha Exciter 150, bagi tempoh jualan tahun 2019. Oleh itu bagi tempoh jualan tahun 2020 ini dengan penurunan harga yang signifikan, terdapat harapan bahawa Honda Winner X akan merampas kedudukan Yamaha Exciter 150.

Pada masa yang sama, jualan model Yamaha Exciter 150 di pasaran Vietnam ketika ini telah dilaporkan mula menerima tawaran harga yang lebih menarik, selaras dengan kejutan yang diberikan oleh Honda Winner X. Setakat ini, harga terendah Yamaha Exciter 150 berada dalam lingkungan VND 42,000,000, bersamaan RM 7,518.12.

Walau pun penurunan harga tersebut melibatkan sejumlah VND 5,000,000 ke VND 7,000,000 sahaja, ianya sudah memadai kerana harga tersebut merupakan yang terendah pernah ditawarkan untuk Yamaha Exciter 150 dalam tempoh beberapa tahun. Penurunan harga Winner X telah memberikan tekanan kepada Yamaha Exciter 150.

Beralih ke pasaran Malaysia pula, setakat ini tiada sebarang maklumat tepat mengenai tarikh pelancaran Honda Winner X (Honda RS150R V3) oleh pihak Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (BSH). Melihat situasi yang berlaku di pasaran Vietnam ketika ini, pelancaran Honda Winner X di pasaran Malaysia sememangnya amat dinanti-nantikan.

Ini kerana apabila ianya dilancarkan nanti, Honda Winner X dijangka akan memberikan tekanan hebat kepada saingannya Yamaha Y15ZR, yang ketika ini dijual pada harga yang terlalu tinggi berbanding harga runcit yang disyorkan. Sekurang-kurangnya bila ada persaingan setaraf, harga jualan Yamaha Y15ZR tidaklah akan terlalu menggila.

Artikel berkaitan : Honda Winner X dijual di pasaran negara Burkina Faso, Afrika

Sumber : Nghean24h.vn & Thethao247.vn

 
Arena Motosikal © 2023