Honda hari ini dengan rasminya melancarkan model moped Honda Winner X 2020 terbaharu untuk pasaran Vietnam, yang kini tampil dengan kemaskini warna dan corak grafik terkini yang kelihatan lebih menarik dan sporty. Bagaimanapun tiada sebarang perubahan melibatkan aspek teknikal atau prestasi enjin.
Honda Winner X pada mulanya dilancarkan di pasaran Vietnam pada tarikh 13hb. Julai 2019 yang lalu, dan sejak itu ianya telah terjual melebihi 150,000 unit (daripada 16 Julai 2019 sehingga 15 Ogos 2020). Kini selepas lebih setahun, kemunculan versi terbaharu yang lebih segar ini dijangka akan menarik perhatian lebih ramai peminat.
Untuk model tahun 2020, Honda Winner X menawarkan lima pilihan varian iaitu Camo Version (dua pilihan warna), Matte Black Version (satu pilihan warna), Track Version (satu pilihan warna), Sport Version – ABS Brake (satu pilihan warna), dan Sport Version – Normal Brake (empat pilihan warna).
Ini bermakna Honda Winner X model tahun 2020 terbaharu di pasaran Vietnam kini menawarkan sembilan pilihan warna kesemuanya. Bagaimanapun hanya varian Camo Version, Matte Black Version, Track Version dan Sport Version – ABS Brake sahaja yang dilengkapi dengan sistem brek ABS di bahagian roda depan.
Harga jualan yang ditawarkan pula bermula daripada 45,990,000 VND untuk varian Sport Version – Normal Brake, bersamaan RM 8,291.05 mengikut kadar tukaran semasa. Bagi varian teratas iaitu Track Version, harga yang ditawarkan adalah sebanyak 49,990,000 VND, bersamaan RM 9,012.17 mengikut kadar tukaran semasa.
Honda Winner X 2020 masih mengekalkan enjin bersesaran 150cc (PGM-FI, 4-stroke, DOHC, 4-valve, single-cylinder, liquid-cooled) yang digandingkan dengan transmisi enam kelajuan. Keluaran prestasi maksimumnya mencapai 15.4hp (11.5kW) @ 9,000rpm dengan tork puncak 13.5Nm @ 6,500rpm.
Jentera yang memberikan saingan sengit kepada model Yamaha Exciter 150 itu turut dilengkapi panel meter digital LCD yang memberikan pelbagai informasi, sistem lampu LED, brek cakera di bahagian roda hadapan dan belakang, sistem brek CBS untuk varian Non-ABS, dan rekaan ekzos yang kekal menawan dan sporty.
Untuk pasaran Vietnam, Honda Winner X 2020 terbaharu ini bakal berada di pasaran secara rasmi mulai 30hb. Ogos 2020. Tempoh jaminan yang diberikan adalah selama 3 tahun atau 30,000 km, mana-mana yang terdahulu. Untuk pasaran Malaysia, setakat ini tiada sebarang perkembangan lanjut daripada Boon Siew Honda Sdn. Bhd.