Web Analytics
Honda Winner X dijual di pasaran negara Burkina Faso, Afrika – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Honda Winner X dijual di pasaran negara Burkina Faso, Afrika

Model moped Honda Winner X seperti mana yang kita semua tahu, dilancarkan dan dijual secara rasmi di pasaran Vietnam sejak pertengahan 2019. Model tersebut juga didapati dijual di pasaran Singapura, yang dibawa masuk oleh pengimport bebas.

Setakat ini selain daripada pasaran Vietnam, Honda Winner X termasuk model tahun 2020 masih belum dilancarkan di pasaran negara-negara ASEAN yang lain secara rasmi, antaranya di pasaran Malaysia, Indonesia, Thailand dan juga Filipina.

Bagaimanapun jauh di benua Afrika, di sebuah negara yang bernama Burkina Faso, Honda Winner X telah dijual di pasaran negara tersebut. Kebanyakan model-model yang dijual itu dalam versi ABS dan Non-ABS keluaran tahun 2019, namun terdapat juga varian Honda Winner X Sport ABS 2020 yang dilancarkan pada April yang lalu.

Tidak pasti bilakah Honda Winner X dibawa masuk ke pasaran negara tersebut, dan kemungkinan juga ianya dibawa masuk oleh pengimport bebas sama seperti di pasaran Singapura. Carian internet laman sesawang Honda Burkina Faso pula tidak ditemui.

Selain daripada model Honda Winner X, pasaran motosikal di Burkina Faso juga meriah dengan kehadiran model-model moped seperti Yamaha MX King 150 (Yamaha Y15ZR), Honda Supra GTR150 (Honda RS150R), Suzuki Satria F150 dan Benelli RFS150i.

Mungkin untuk negara seperti Burkina Faso, mereka bebas membawa masuk pelbagai model-model motosikal dari pasaran negara luar dengan mudah. Tambahan pula melalui dunia tanpa sempadan, Honda Winner X juga boleh dibeli melalui Alibaba.com.

Sumber : Sovecy Moto FB

 
Arena Motosikal © 2023