Salah sebuah model motosikal sport bike yang pernah ditawarkan di pasaran Malaysia suatu ketika dahulu ialah Daiichi Megelli 250RR, yang dilancarkan pada tahun 2012. Sebenarnya penulis sudah pernah menerbitkan sebuah artikel ringkas mengenai model Megelli 250RR ini pada bulan Jun 2016, sewaktu masih bersama blog lama.
Berdasarkan info yang ditulis dahulu, model tersebut ketika itu diiklankan di dalam laman jual beli Mudah.my, pada harga RM 16,500.00, dan ianya tersedia dalam pilihan warna putih, merah dan hitam. Ketika ini pula terdapat sebuah unit terpakai berwarna merah untuk dijual yang diiklankan di dalam Mudah.my, berharga RM 12,000.00.
Kalau hendak dikatakan Daiichi Megelli 250RR ini sebagai sebuah model motosikal bertaraf ‘rare’ dan amat jarang dijumpai, sememangnya tepat sekali. Mungkin kerana tidak ramai yang membelinya, menjadikannya amat sukar ditemui di jalan raya.
Asal-usul jenama motosikal Megelli ini pula berasal dari United Kingdom (UK), dan di pasaran Malaysia ianya diedarkan oleh sebuah syarikat tempatan yang bernama Daiichi Motors Sdn. Bhd. Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada masih terdapat unit-unit baharu model Daiichi Megelli 250RR ini yang dijual di pasaran tempatan.
Kita lihat pula spesifikasi Megelli 250RR ini. Ianya dikuasakan enjin bersesaran 249.6cc (4-strokes, Liquid Cooled, Single Cylinder) dengan padanan transmisi enam kelajuan, dan menghasilkan kuasa maksimum 26hp @ 8,500rpm dengan tork puncak 22.8Nm @ 7,000rpm. Enjin tersebut dilengkapi sistem penyampaian bahan api jenis karburator.
Daiichi Megelli 250RR ini turut dilengkapi sistem brek cakera di bahagian depan dan belakang, manakala sistem ekzosnya yang sporty ditempatkan di bawah tempat duduk belakang. Rekaan keseluruhannya dengan fairing penuh menjadikannya sebuah model yang sporty dan bergaya, namun nasibnya di pasaran tempatan mungkin kurang baik.