Yamaha Y15ZR V2 GP Edition 2020 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas RM 8,868.00

Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) selaku pengedar sah motosikal berjenama Yamaha di pasaran Malaysia, baru-baru ini secara rasminya melancarkan Yamaha Y15ZR V2 GP Edition 2020. Harga jualan asas untuk model berkenaan ditetapkan RM 8,868.00, tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

Yamaha Y15ZR V2 GP Edition 2020 tampil dengan skim warna dan grafik jentera perlumbaan Yamaha YZR-M1 Monster Energy Yamaha MotoGP, yang dikendalikan oleh dua pelumba handalan untuk musim 2020 ini iaitu Valentino Rossi dan Maverick Vinales. Bagaimanapun dari segi aspek teknikal, tiada sebarang perubahan.

Menurut HLYM, bagi setiap pembelian Yamaha Y15ZR V2 GP Edition 2020 ini, setiap pembeli akan menerima hadiah percuma eksklusif berupa jam tangan pintar Y15ZR, bersama-sama dengan sijil pengesahan ketulenan. Di samping itu, setiap pembeli juga akan turut menerima kunci cakera Yamaha bernilai RM 100.00 secara percuma.

Yamaha Y15ZR V2 dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan Mac 2019, dan dijual pada harga asas sebanyak RM8,168.00. Ianya dikuasakan enjin 150cc (Single Cylinder, Liquid-cooled, 4-stroke, SOHC) dan dipadankan transmisi lima kelajuan, menghasilkan kuasa maksimum 15.4PS @ 8,500rpm dengan tork maksimum 13.8Nm @ 7,000rpm.

Dengan pengenalan Yamaha Y15ZR V2 GP Edition 2020 ini, ianya akan menambahkan lagi nilai kepada model berkenaan yang sememangnya sangat popular. Untuk anda yang berminat, tempahan boleh dibuat di mana-mana cawangan pengedar sah Yamaha, namun perlu pantas kerana ianya merupakan model keluaran edisi terhad.