Berdasarkan laporan di dalam artikel terdahulu, Modenas telah mengeksport empat model keluarannya ke pasaran Thailand. Namun keempat-empat model tersebut tidak menggunakan jenama Modenas, sebaliknya menggunakan jenama asal Bajaj.
Model-model yang dieksport dan dijual di pasaran Thailand itu ialah Bajaj Pulsar NS160, Bajaj Pulsar NS200 FI ABS, Bajaj Pulsar RS200 FI ABS dan Bajaj Dominar 400. Kesemuanya dipasang oleh Modenas di kilang mereka di Gurun, Kedah.
Apa yang menarik perhatian ialah mengenai model Bajaj Dominar 400 yang dieksport ke pasaran Thailand, kerana ianya merupakan versi terbaharu yang telah menerima peningkatan untuk pasaran India sejak tahun lepas. Untuk pasaran Malaysia pula, Modenas Dominar D400 yang dijual di pasaran masih lagi merupakan versi lama.
Agak menghairankan kenapa Modenas Dominar 400 versi terbaharu tidak ditawarkan di pasaran Malaysia ketika ini, sedangkan Modenas telah pun memasangnya di kilang mereka di Gurun, Kedah, seterusnya mengeksportnya ke pasaran Thailand.
Bajaj Dominar 400 model tahun 2020 yang ditawarkan di pasaran Thailand ketika ini mempunyai beberapa kemaskini dan peningkatan baharu berbanding model Modenas Dominar D400. Senarai peningkatan itu boleh dikatakan sangat menarik dan impresif.
Antaranya ialah kuasanya enjinnya kini telah meningkat kepada 40hp berbanding 35hp, sistem transmisi telah ditala semula untuk prestasi pecutan yang lebih baik, fork depan kini jenis terbalik, lampu LED baharu, panel meter baharu (dual LCD) pelbagai info, sistem ekzos berkembar terbaharu, dan brek depan kini telah diubah ke sebelah kiri.
Bajaj Dominar 400 2020 juga mempunyai pilihan warna baharu hijau yang kelihatan lebih sporty dan menawan. Harga yang ditawarkan di pasaran Thailand adalah sebanyak 115,000 THB, bersamaan RM 15,237.68 mengikut kadar tukaran semasa.
Untuk pasaran Malaysia, Modenas Dominar D400 versi terbaharu seperti mana yang diterima oleh pasaran Thailand dijangka akan dilancarkan dalam masa terdekat. Namun harganya mungkin akan meningkat disebabkan pelbagai kemaskini yang diterima.