Modenas kini di pasaran Thailand melalui empat model Bajaj

Dalam bulan Mac 2020 yang lepas, Berita RTM telah melaporkan bahawa Modenas bakal mengeksport empat model motosikal keluarannya ke pasaran Thailand, mulai April 2020. Syarikat tempatan itu menyasarkan lebih 10,000 unit motosikal keluarannya akan dieskport ke pasaran Thailand bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menurut Berita RTM lagi, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata, sampel motosikal tersebut dihantar ke Thailand selepas mendapat kelulusan untuk mengeksport pada awal tahun ini. Jelas beliau lagi, usaha meneroka pasaran baharu itu sejajar dengan Dasar Automotif Nasional 2020 yang mengalakkan aktiviti eskport.

Setelah membuat carian di dalam internet, didapati syarikat Vroom Thailand Co., Ltd dalam bulan Julai 2020 yang lalu secara rasminya memperkenalkan jenama motosikal Bajaj untuk pasaran Thailand. Serentak dengan itu ialah pelancaran empat model motosikal Bajaj di Bangkok International Motor Show 2020 (15 – 26 Julai 2020).

Keempat-empat model motosikal yang dilancarkan itu ialah Bajaj Pulsar NS160, Bajaj Pulsar NS200 FI ABS, Bajaj Pulsar RS200 FI ABS dan Bajaj Dominar 400. Jadi sememangnya benar Modenas telah masuk ke pasaran Thailand, dengan mengeksport empat model motosikal yang dipasang di kilang mereka yang terletak di Gurun, Kedah.

Cuma atas strategi perniagaan, sudah tentu Modenas dan rakan niaganya Bajaj Auto dari India telah membuat keputusan untuk melancarkan keempat-empat model tersebut di pasaran Thailand menggunakan jenama Bajaj. Yang pasti, keempat-empat model tersebut dikeluarkan daripada kilang Modenas dan dieksport ke pasaran Thailand.

Namun apa yang kita harapkan, suatu hari nanti Modenas akan kembali mengeksport model-model motosikal keluarannya ke pasaran luar negara, dengan menggunakan jenama Modenas sendiri. Beberapa tahun yang lepas, Modenas pernah mengeskport motosikal keluarannya ke pasaran luar negara antaranya Iran, Turki dan Greece.

Artikel menarik berkaitan : Pasaran Thailand terima model Bajaj Dominar 400 2020 versi terbaharu yang dipertingkatkan