Honda Winner X 2021 bakal dilancarkan pada 22hb. Ogos 2020 di pasaran Vietnam

Sementara pasaran Malaysia masih ternanti-nanti bilakah model Honda Winner X 2020 akan dilancarkan, pasaran Vietnam pula bakal menerima pelancaran model Honda Winner X 2021 terbaharu tidak lama lagi. Berdasarkan ‘teaser’ yang disiarkan di dalam laman FB Honda Vietnam, model tersebut akan dilancarkan pada 22hb. Ogos 2020.

Setakat ini, Honda Winner X 2021 untuk pasaran Vietnam dikatakan bakal menerima peningkatan baharu dari segi kosmestik (facelift version) dan juga spesifikasi, namun perinciannya secara tepat masih belum diketahui. Pelancaran ini juga merupakan kitaran hayat untuk model berkenaan, kerana telah setahun ianya berada di pasaran.

Menurut sumber maklumat dari Vietnam, Honda Winner X dikatakan masih gagal mengatasi jualan seteru utamanya di pasaran negara tersebut, iaitu model terhangat Yamaha Exciter 150. Oleh itu timbul spekulasi bahawa pelancaran Honda Winner X 2021 ini adalah sebagai usaha terkini Honda untuk menewaskan pencabarnya itu.

Honda Winner X buat pertama kalinya dilancarkan di pasaran Vietnam pada bulan Julai 2019 yang lalu, dilengkapi enjin berkapasiti 149.1cc (4-stroke, single-cylinder, DOHC, liquid-cooled, PGM-FI) dengan transmisi enam kelajuan. Janaan kuasa maksimumnya mencapai 15.4hp (11.5kW) @ 9,000rpm dengan tork puncak 13.5Nm @ 6,500rpm.

Untuk pasaran Malaysia pula, setakat ini tiada apa-apa perkembangan dari pihak Boon Siew Honda. Bagaimanapun perkara ini tidak begitu menghairankan kerana Honda Winner X buat masa ini hanya dijual di pasaran Vietnam sahaja. Pasaran besar sepertiĀ  Indonesia dan Thailand juga masih belum menerima kehadiran model tersebut.