Honda EX5 Dream 100 versi New Old Stock masih di pasaran

Model motosikal kapcai bertaraf legenda Honda EX5 High Power 100 dilancarkan di pasaran Malaysia pada tahun 1987. Kemudiannya pada tahun 2003, model tersebut digantikan oleh model generasi baharu Honda EX5 Dream 100, namun masih mengekalkan reka bentuk yang sama kecuali mempunyai perbezaan di bahagian enjin.

Berdasarkan pengalaman, Honda EX5 High Power mempunyai kuasa enjin yang lebih berkuasa dan lebih tahan lasak jika dibandingkan dengan model Honda EX5 Dream. Kemudiannya pada tarikh 31hb. Disember 2013, pengeluaran Honda EX5 Dream secara rasminya ditamatkan oleh pengeluarnya Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (BSH).

Ini bagi memberi laluan kepada pelancaran model Honda EX5 Dream 110 serba baharu yang lebih mesra alam dan mematuhi piawaian Euro 2. Setakat ini di pasaran Malaysia, BSH menawarkan model Honda EX5 110 FI 2020 yang dilengkapi sistem suntikan bahan api PGM-FI, dengan ciri penjimatan petrol terbaik dan kurang pencemaran emisi.

Walaupun Honda EX5 110 FI 2020 serba baharu tampil dengan reka bentuk yang lebih moden dan teknologi enjin yang lebih canggih dan lebih berkuasa, tidak dapat dinafikan ketika ini masih terdapat segelintir peminat tegar model Honda EX5 Dream. Bagi mereka, reka bentuk Honda EX5 Dream kekal menarik dan sporty sepanjang zaman.

Untuk memiliki Honda EX5 High Power serba baharu versi New Old Stock (NOS) kedengarannya sangat mustahil, namun untuk model Honda EX5 Dream versi NOS, ianya masih boleh didapati di pasaran ketika ini. Namun sebagai sebuah model lama bertaraf ‘rare’, jumlahnya sangat terhad dan bakal kehabisan stok pada bila-bila masa.

Berita baiknya ialah Honda EX5 Dream versi NOS yang masih ditawarkan di pasaran tempatan ketika ini harganya tidaklah terlalu mahal, malah masih boleh dikatakan berapa pada paras yang berpatutan, sesuai dengan tarafnya sebagai sebuah model legenda yang kekal evergreen. Jadi berapakah nilai harga yang ditawarkan itu?

Berdasarkan pemerhatian di dalam laman jual beli Mudah.my, sebuah unit Honda EX5 Dream versi NOS dengan jumlah perbatuan 00000, ditawarkan pada harga hanya RM 7,999.00 sahaja, dan masih boleh dirunding. Untuk peminat kental, inilah peluang terakhir anda untuk memiliki sebuah model Honda EX5 Dream 100 serba baharu.