KTM 250 Duke 2020 di pasaran India kini dilengkapi lampu depan LED

Berita baik untuk peminat motosikal KTM 250 Duke 2020 terbaharu, apabila model naked tersebut kini dilengkapi lampu depan LED, sama seperti yang dimiliki oleh model KTM 390 Duke. Bagaimanapun model tersebut adalah untuk pasaran India, sementara untuk pasaran Malaysia, unit yang dijual masih dilengkapi lampu depan halogen.

Selain itu, KTM 250 Duke 2020 untuk pasaran India yang dilancarkan pada bulan Julai yang lepas juga kini dilengkapi mod Supermoto ABS, sama seperti yang dimiliki oleh model KTM 390 Duke, dan enjinnya sejak kemaskini yang diperkenalkan pada bulan Januari 2020 yang lalu telah pun mematuhi piawaian emisi BS6 yang lebih ketat.

Spesifikasi lain masih kekal sama, antaranya panel meter KTM 250 Duke 2020 masih lagi unit digital LCD yang lama berbanding panel meter digital TFT canggih berwarna sepenuhnya yang melengkapi KTM 390 Duke. Jika tidak, pasti penampilan kedua-dua model tersebut hampir sama seratus-peratus dan sukar dibezakan.

Untuk pasaran India, KTM 250 Duke 2020 terbaharu ditawarkan pada harga sebanyak Rs 209,280.00, bersamaan RM 11,880.83 sahaja mengikut kadar tukaran semasa. Harga tersebut boleh dikatakan sangat murah jika dibandingkan dengan harga KTM 250 Duke 2020 di pasaran Malaysia yang dijual pada harga asas RM 20,500.00.

Sumber : Bike Dekho