Pada tarikh 19hb. Mei 2017 yang lalu, Modenas secara rasminya melancarkan tiga buah model motosikal terbaharu untuk pasaran tempatan, hasil daripada kerjasama dengan syarikat Bajaj Auto dari India. Ketiga-tiga model yang dilancarkan itu ialah Modenas Pulsar RS200, Modenas Pulsar NS200 dan Modenas V15.
Kemudiannya pada bulan September 2019, model terbaharu Modenas Pulsar NS160 dilancarkan, dan diikuti pelancaran varian terbaharu Modenas Pulsar NS200 ABS dalam bulan Disember 2019. Ketika ini, kesemua model-model tersebut masih dipaparkan di dalam laman sesawang Modenas, kecuali bagi model Modenas V15.
Adakah ini bermakna Modenas tidak lagi menawarkan model V15 yang tampil dengan gaya retro bersama-sama reka bentuk bagaikan sebuah model cafe racer itu? Malah hasil carian di dalam laman Facebook rasmi Modenas di bahagian All Products juga tidak lagi menemui paparan model berkenaan di samping model-model yang lain.
Kesimpulan yang dapat dibuat ialah Modenas V15 tidak lagi dikeluarkan oleh Modenas, namun di pasaran ketika ini masih terdapat unit-unit lama yang masih dijual, pada harga sekitar RM 5,900.00. Harga yang ditawarkan itu berkemungkinan lebih rendah kerana pihak penjual pastinya mahu menghabiskan stok model berkenaan dengan cepat.
Sebenarnya apabila Modenas V15 dilancarkan dahulu, model tersebut dirasakan tidak mempunyai daya tarikan yang cukup kuat untuk memikat hati pengguna motosikal di pasaran Malaysia. Harganya mungkin murah dan ianya dilengkapi enjin 150cc DTS-i, namun dari segi penampilan keseluruhan, ianya tidak memenuhi citarasa tempatan.
Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada pihak Modenas kerana berani mencuba untuk menawarkan sebuah model terbaharu di pasaran tempatan pada harga mampu milik. Modenas V15 sebenarnya boleh dikatakan sebagai pengganti yang ideal untuk peminat model cruiser Modenas Jaguh, dengan ciri tunggangan santai dan selesa.
Untuk anda yang masih meminati model ini dan tertarik dengan harga yang ditawarkan, peluang masih ada untuk memilikinya. Enjinnya mempunyai kuasa maksimum 12PS @ 7,500rpm dan tork 13Nm @ 5,500rpm, di samping kelengkapan brek cakera depan dan tangki bahan api 13 liter. Tempah segera sebelum ianya kehabisan stok di pasaran.