Honda CBR600RR 2021 akan dilancarkan di pasaran Australia

Model terbaharu Honda CBR600RR 2021 diperkenalkan di pasaran Jepun pada 21hb. Ogos 2020 yang lalu, dan jualannya akan bermula secara rasmi mulai tarikh 25hb. September 2020. Menurut sumber awal, model tersebut hanya eksklusif untuk pasaran Jepun kerana ianya tidak akan ditawarkan di pasaran Eropah dan Amerika Utara.

Ini kerana Honda CBR600RR 2021 masih menawarkan enjin lama dengan beberapa peningkatan, dan ianya masih tidak mampu untuk memenuhi piawaian Euro 5. Untuk pasaran Amerika Utara pula, harga model tersebut dikatakan terlalu mahal berbanding model CBR600RR sebelumnya, menjadikan harga terkininya tidak lagi kompetetif.

Bagaimanapun Honda Australia baru-baru ini telah mengesahkan bahawa CBR600RR 2021 tidak lagi eksklusif untuk pasaran Jepun sahaja, apabila model berkenaan akan dilancarkan secara rasmi di negara tersebut. Ketika ini laman sesawang rasmi Honda Autsralia telah memaparkan perincian mengenai model yang akan dilancarkan itu.

Setakat ini Honda Australia tidak memberikan maklumat tambahan mengenai tarikh pelancaran CBR600RR 2021, namun ianya dijangka akan berlangsung dalam tempoh terdekat. Berkenaan harga yang akan ditawarkan dan pematuhan piawaian emisi, sudah pasti ianya bukanlah suatu masalah, sama seperti penetapan di pasaran Jepun.

Sebagai ulangan, Honda CBR600RR 2021 dikuasakan enjin berkapasiti 599cc (liquid-cooled, 4-stroke, 16-valve, DOHC inline-4 with PGM-FI) dengan kuasa maksimum 121PS @ 14,000rpm dan tork puncak 64Nm @ 11,500rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan dengan sistem Assist & Slipper Clutch dan Quick Shifter.

Selain daripada ciri aerodinamik terbaharu dengan winglet, Honda CBR600RR 2021 turut didatangkan beberapa teknologi moden dan canggih seperti sistem Throttle By Wire, Honda Selectable Torque Control, Six-axis Inertial Measurement Unit (IMU) 5 riding modes, 41mm inverted Big Piston Fork with spring preload, HESD (Honda Electronic Steering Damper), dan Honda Multi-Action System (HMAS) Inverted Fork.

Untuk pasaran Malaysia, tidak dapat dipastikan adakah ianya akan turut dilancarkan. Setakat ini Boon Siew Honda (BSH) telah melancarkan model Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 2020 pada harga asas RM 198,800.00, bermakna ruang untuk Honda CBR600RR 2021 masih ada kerana perbezaan harga yang jauh antara kedua-duanya.