Web Analytics
Modenas CT115S 2020 kini tampil dengan lampu belakang rekaan baharu jenis terpisah – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Modenas CT115S 2020 kini tampil dengan lampu belakang rekaan baharu jenis terpisah

Model moped Modenas CT115S telah dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan September 2015, dengan tema “Rasai Perbezaannya”. Menurut Modenas, model tersebut berada dalam rangkaian varian model CT terbaharu, dan ianya dibangunkan oleh unit Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Modenas sepenuhnya.

Sewaktu Modenas CT115S dilancarkan dahulu, model berkenaan mendapat pujian dari segi reka bentuknya yang sporty dan menawan, di samping prestasi tunggangan yang memuaskan. Ianya dilengkapi suspensi monoshock dengan ciri pelarasan lima tahap, yang memberikan lebih kestabilan dan keselesaan mengikut kehendak penunggang.

Bagaimanapun Modenas CT115S bukanlah sebuah model moped yang sempurna seratus peratus, oleh itu ianya menerima kritikan yang melibatkan rekaan lampu belakangnya. Sebenarnya rekaan tersebut adalah praktikal kerana lampu signal masih bersepadu dengan lampu brek belakang, tidak terpisah seperti model-model lain.

Untuk makluman, piawaian Euro 3 menetapkan lampu signal atau lampu penunjuk arah di bahagian depan dan belakang motosikal perlu berada dalam keadaan terpisah daripada lampu utama dan lampu brek dalam jarak tertentu. Bagaimanapun rekaan lampu belakang Modenas CT115S masih berjaya mematuhi piawaian tersebut.

Bagaimanapun mungkin mengambil kira maklumbalas pelanggan, atau telah tiba masanya untuk Modenas CT115S menerima perubahan ‘facelift’ terkini, model tersebut kini didatangkan dengan rekaan lampu belakang baharu jenis terpisah, di mana rekaan terbaharu lampu signal belakang kini telah terpisah daripada lampu brek belakang.

Dengan perubahan tersebut, penampilan terkini Modenas CT115S model tahun 2020 boleh dikatakan lebih sporty berbanding generasi sebelumnya. Tambahan pula ianya juga kini didatangkan dengan skim warna dan jalur grafik terbaharu yang kelihatan lebih menarik. Harga jualan untuk Modenas CT115S 2020 ketika ini ialah RM 4,988.00.

Saksikan galeri gambar-gambar terkini 25hb. Ogos 2020 : Modenas CT115S 2020 kini dilengkapi lampu belakang rekaan baharu

Sumber gambar galeri di bawah : Eang Chun Motor Sdn Bhd FB

 
Arena Motosikal © 2023