Web Analytics
Yamaha SRE pencetus model kapcai 4-lejang keluaran Yamaha di pasaran Malaysia – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Yamaha SRE pencetus model kapcai 4-lejang keluaran Yamaha di pasaran Malaysia

Sekitar tahun 1990an dahulu, Honda terkenal dengan model kapcai empat lejang seperti Honda C90 (Honda Fame), Honda EX5 dan Honda C70. Di samping itu, Kawasaki juga menawarkan model Kawasaki Max 100, dan pada tahun 1996, Suzuki melancarkan model kapcai empat lejang pertamanya iaitu Suzuki GSX 110.

Pengeluar motosikal nasional Modenas juga tidak ketinggalan memperkenalkan model pertamanya Modenas Kriss 110, juga pada tahun 1996. Mungkin kerana melihat pasaran model kapcai empat lejang kian menjadi pilihan rakyat Malaysia ketika itu, pada tahun 1997, Yamaha secara rasminya melancarkan model Yamaha SRE.

Yamaha SRE merupakan model kapcai empat lejang pertama Yamaha di pasaran Malaysia. Sebelum itu pasaran Yamaha lebih tertumpu melalui model-model dua lejang seperti Yamaha 100 Sports, Yamaha 110SS dan Yamaha Y80 CDi. Pada tahun 1997, pengeluaran model kapcai dan moped Yamaha dengan enjin dua lejang diteruskan dengan pelancaran Yamaha SS Two, diikuti Yamaha 125Z pada tahun 1998.

Yamaha SRE boleh dikatakan pencetus kepada pengeluaran model kapcai dan moped empat lejang keluaran Yamaha. Bagaimanapun penerimaan pasaran terhadap Yamaha SRE ketika ianya dilancarkan dahulu tidaklah memberangsangkan. Ini kerana reka bentuknya yang mirip Yamaha 110SS dan sesaran enjinnya hanya 102cc sahaja.

Perlu diingat pada tahun 1997 sehingga tahun 2000, Modenas telah menguasai pasaran motosikal kapcai empat lejang dengan rakus sekali, melalui model Modenas Kriss. Jadi adalah sukar untuk Yamaha SRE mencari ruang pada ketika itu, tambahan pula Honda EX5 High Power juga pada masa yang sama masih menjadi raja jalanan.

Seterusnya pada tahun 1999, Yamaha melancarkan model Yamaha SR-X sebagai pengganti kepada model Yamaha SRE, dan kemudiannya diikuti dengan pelancaran model Yamaha Lagenda SR pada tahun 2000, Yamaha Lagenda 110 pada tahun 2003, Yamaha SRV pada tahun 2004, dan Yamaha 135LC pada tahun 2006.

Yamaha SRE walaupun hadir sepintas lalu sahaja di pasaran tempatan suatu ketika dahulu, ianya kekal menjadi pencetus kepada pengeluaran model kapcai empat lejang Yamaha. Antara yang masih diingati ketika ianya mula berada di pasaran ialah ramai yang terpinga-pinga apabila mendengar bunyi ekzosnya yang tidak dijangkakan.

 
Arena Motosikal © 2023