Yamaha Sniper T150 model tahun 2020 di pasaran Singapura

Untuk pasaran Singapura, Yamaha menawarkan model Yamaha Sniper T150 model tahun 2020 terbaharu, yang didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu Yellow Hornet, Matt Green dan Black Raven. Berkenaan harga, tiada pula maklumat yang dipaparkan di dalam laman sesawang Yamaha Motor Singapore.

Yamaha Sniper T150 2020 di pasaran Singapura sebenarnya merupakan model sama seperti mana yang ditawarkan di pasaran Malaysia. Namun untuk pasaran Malaysia, ianya dikenali dengan nama Yamaha Y15ZR, dan dilancarkan secara rasmi dalam bulan Mac 2019 yang lalu.

Berdasarkan pemerhatian, perbezaan teknikal di antara Yamaha Sniper T150 di pasaran Singapura dan Yamaha Y15ZR di pasaran Malaysia hanyalah pada sistem penghidup enjin sahaja. Yamaha Sniper T150 dilengkapi sistem penghidup tendang dan elektrik, manakala Yamaha Y15ZR hanya dilengkapi penghidup elektrik tunggal.

Yamaha Sniper T150 dilengkapi enjin bersesaran 149.7cc (4-stroke, Liquid-Cooled, DOHC, 4-Valve) yang dipadankan transmisi lima kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 15PS (11kW) @ 8,500rpm dengan tork puncak 13.8Nm @ 7,000rpm. Tangki bahan api motosikal tersebut mempunyai kapasiti penuh 4.2 liter.

Spesifikasi lain yang melengkapi Yamaha Sniper T150 adalah seperti fork depan jenis teleskopik, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan dan belakang, serta tayar berukuran lebar masing-masing dalam siri 90 / 80 – 17M / C 46P Tubeless (depan) dan 120 / 70 – 17M / C 46P Tubeless (belakang).

Yamaha Sniper T150 model tahun 2020 terbaharu ini juga didatangkan lampu depan LED bergaya triple, lampu posisi LED, rekaan cowl tengah yang aerodinamik, serta paparan panel meter digital LCD sepenuhnya yang jelas dengan pelbagai informasi yang diperlukan oleh penunggang.