Yamaha MT-15 Limited Edition 2020 dilancarkan di pasaran Thailand

Untuk pasaran Thailand, Yamaha baru saja melancarkan model naked Yamaha MT-15 Limited Edition 2020 terbaharu, yang didatangkan dalam skim warna eksklusif yang sporty dan menyerlah. Warna tersebut kelihatan seperti warna Hijau Petronas (Turquoise Colour), dengan padanan rim aloi berwarna Hijau Fluorescent yang terang.

Yamaha MT-15 Limited Edition 2020 dilengkapi enjin empat lejang 155cc VVA (Single Cylinder, SOHC, 4-valve, Liquid Cooled), manakala sistem transmisi enam kelajuannya digandingkan dengan sistem Assist & Slipper Clutch. Berkenaan kuasa enjin, tiada maklumat yang diberikan. Namun begitu untuk pasaran Indonesia, Yamaha MT-15 menawarkan kuasa maksimum 19hp @ 10,000rpm dan tork 14.7Nm @ 8,500rpm.

Spesifikasi lain untuk model tersebut antaranya seperti paparan meter digital LCD negatif, lampu depan Mono Focus LED, lampu belakang LED, fork depan berwarna emas jenis terbalik, suspensi monoshock di bahagian belakang dengan lengan ayun aluminium, tempat duduk bergaya Freestyle dan tangki bahan api berkapasiti 10 liter.

Yamaha MT-15 Limited Edition 2020 untuk pasaran Thailand ini ditawarkan pada harga sebanyak THB 98,500, bersamaan RM 13,346.62 mengikut kadar tukaran semasa. Untuk pasaran Malaysia, Yamaha MT-15 pernah dikesan sedang menjalani ujian jalan raya sebelum ini, berkemungkinan besar ianya bakal dilancarkan oleh HLYM.