Harga terkini Yamaha 125ZR NOS 2020, RM 14k – RM 20k

Baru-baru ini heboh tentang penjualan model Yamaha 125ZR di pasaran negara jiran Indonesia, apabila pembelinya sanggup menawarkan harga sehingga 80 juta Rupiah. Harga tersebut jika ditukarkan kepada nilai Ringgit Malaysia, ianya bersamaan sekitar RM 24 ribu, boleh dikatakan mahal kerana unit yang dijual itu merupakan unit terpakai.

Sebenarnya di pasaran negara kita, masih terdapat unit-unit Yamaha 125ZR yang bertaraf NOS (New Old Stock), sama ada dalam versi standard atau versi Movistar MotoGP. Bagaimanapun model moped berprestasi tinggi dengan enjin dua lejang 125cc itu kini kian sukar didapati di pasaran, menjadikan harganya semakin meningkat.

Baru sebentar tadi Arena Motosikal telah menerjah beberapa buah kedai motosikal dengan harapan untuk melihat sendiri sama ada Yamaha 125ZR masih dijual atau pun tidak, dan terbukti kebanyakan kedai sudah kehabisan stok. Hanya sebuah kedai sahaja yang masih mempunyai satu unit berwarna kuning, dengan tanda harga tunai yang ditawarkan adalah sebanyak RM 14,000.00.

Sebagai perbandingan, versi terakhir Yamaha 125ZR berwarna kuning, biru dan merah yang dilancarkan pada April 2016, ditawarkan pada harga asas sebanyak RM 7,269.00 oleh pengedarnya Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM). Bagi versi Movistar MotoGP yang dilancarkan pada Julai 2017, harga asasnya adalah sebanyak RM 8,846.76 sahaja (harga asas tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Bagaimanapun jika harga RM 14,000.00 yang ditawarkan itu dianggap terlalu tinggi, sebenarnya harga tersebut boleh dikatakan antara yang paling rendah boleh didapati di pasaran buat masa sekarang. Ini kerana berdasarkan pemerhatian di dalam laman jual beli Mudah.my dan di ruangan Market Place di laman Facebook, harga Yamaha 125ZR versi NOS kini telah melambung tinggi sehingga mencecah angka RM 20,000.00.

Harga tersebut sememangnya tinggi dan mahal, namun untuk sebuah model motosikal bertaraf legenda yang telah pun dihentikan pengeluarannya sejak tahun 2018, tentu ramai yang bersetuju bahawa peningkatan harga tersebut masih lagi relevan. Jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan harga RM 70k untuk sebuah Yamaha RX-Z restore.

Kepada peminat Yamaha 125ZR sama ada anda seorang peminat tegar, pengumpul koleksi atau seorang reseller, tindakan pantas perlu diambil sebelum model tersebut kehabisan stok di pasaran selama-lamanya. Mana tahu suatu hari nanti anda akan mendapat tawaran harga yang berkali ganda daripada pembeli dari negara jiran.

(Visited 7,249 times, 3 visits today)