Pada awal bulan April 2020 yang lalu, Honda Monkey 125 telah diperkenalkan di pasaran domestik Jepun dengan pilihan warna baharu Pearl Shining Black. Tambahan warna baharu tersebut kini boleh didapati bersama-sama tiga pilihan warna terdahulu seperti Banana Yellow, Pearl Nebula Red dan Pearl Glitter Ring Blue.
Untuk pasaran Jepun, Honda Monkey 125 ditawarkan dalam versi standard (Non-ABS) dan ABS. Model cilik tersebut mempunyai enjin bersesaran 124cc (Air-cooled, 4-stroke, OHC, single cylinder, PGM-FI) dengan kotak gear empat kelajuan. Enjin berkenaan menawarkan kuasa maksimum 9.4PS @ 7,000rpm dan tork 11Nm @ 5,250rpm.
Honda Monkey 125 model tahun 2020 ini dilengkapi dengan ciri-ciri menarik antaranya seperti sistem lampu LED, paparan meter digital, suspensi depan jenis upside-down, suspensi belakang berkembar, sistem brek cakera depan dan belakang, ketinggian tempat duduk 775 mm, tangki bahan api maksimum 5.6 liter dan berat hanya 105 kg.
Memandangkan saiznya yang kecil, motosikal tersebut hanya mempunyai kapasiti tunggangan untuk seorang sahaja. Honda menetapkan harga untuk Monkey 125 sebanyak 407,000 Yen untuk versi Non-ABS dan 440,000 Yen untuk versi ABS (bersamaan RM 16,544.46 dan RM 17,885.90 mengikut kadar tukaran semasa).