Suatu ketika dahulu dalam tahun 1990an, motosikal dengan enjin dua lejang boleh dikatakan menjadi raja jalanan mengatasi motosikal dengan enjin empat lejang. Pada ketika itu juga Honda menempa nama dengan model sportbike 250cc dua lejang keluarannya yang cukup terkenal dan berkuasa – Honda NSR250R.
Sebagai imbasan, disiarkan kembali gambar-gambar menarik Honda NSR250R dalam galeri di bawah, bagi model-model keluaran tahun 1993, 1994, 1995 dan 1996. Kesemua model-model tersebut yang didatangkan dalam varian NSR250R, NSR250R SE dan NSR250R SP, adalah untuk pasaran domestik Jepun.
Paling menarik sudah pastinya NSR250R SP keluaran tahun 1993 yang tampil dengan corak grafik Rothmans. Berdasarkan maklumat daripada Honda dan juga Wikipedia, pengenalan pertama NSR250R bermula sejak tahun 1986. Jualannya hanya bertahan sehingga tahun 1999 sahaja kerana menurunnya populariti jentera dua lejang.
Merujuk kepada siaran akhbar yang dikeluarkan Honda pada tahun 1993, Honda NSR250R dikuasakan enjin dua lejang dengan konfigurasi V-Twin, dengan hamburan kuasanya mencapai angka 40PS @ 9,000rpm dan tork puncak 32Nm @ 8,500rpm. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan.
Baru-baru ini kedai motosikal di negara jiran Indonesia yang bernama 2Tcorner, telah menawarkan NSR250R SP edisi Rothmans, pada harga sebanyak 275 juta Rupiah. Tanda harga tersebut apabila ditukarkan kepada nilai Ringgit Malaysia, ianya mencecah RM 80,433.21 mengikut kadar tukaran mata wang semasa.
Untuk peminat tegar atau pengumpul koleksi, mungkin ini adalah peluang keemasan untuk memiliki sebuah jentera dua lejang yang kini sudah mencapai status ikonik.