Yamaha Motor Co., Ltd. pada tarikh 28hb. Mei 2020 yang lalu telah mengumumkan ketibaan model Yamaha YZF-R1 dan Yamaha YZF-R1M, kedua-duanya merupakan model tahun 2020 terbaharu khusus untuk pasaran domestik Jepun.
Yamaha YZF-R1 2020 dan Yamaha YZF-R1M 2020 akan memulakan jualannya secara rasmi di pasaran Jepun pada tarikh 20hb. Ogos 2020, dan tempahan untuk model berkenaan kini dibuka dalam tempoh terhad bermula dari tarikh 28hb. Mei 2020 sehingga 30hb. September 2020.
Menurut Yamaha, kedua-dua model supersport berkenaan ditawarkan dalam jumlah keseluruhan 400 unit sahaja. Namun bagi model YZF-R1M, jika tempahan telah mencapai jumlah yang ditetapkan, penerimaan tempahan mungkin akan ditolak tanpa menunggu tamatnya tempoh tempahan yang disebutkan tadi.
Antara ciri-ciri baharu yang diperkenalkan untuk YZF-R1 dan YZF-R1M model tahun 2020 terbaharu ini termasuklah aspek aerodinamik yang dipertingkatkan, naik taraf prestasi enjin, sistem YCC-T yang kini menampilkan teknologi ride-by-wire APSG (Accelerator Position Sensor Grip), kemaskini baharu sistem suspensi, serta sistem kawalan elektronik baharu EBM (Engine Brake Management) dan BC (Brake Control).
Bagi model YZF-R1M, ianya kini menggunakan cowl karbon yang ringan di samping sistem suspensi premium yang dikendalikan secara elektronik buatan Öhlins. Selain itu, YZF-R1M juga dilengkapi tangki bahan api dan lengan ayun belakang aluminium.
Yamaha YZF-R1 dan Yamaha YZF-R1M dikuasakan enjin berkapasiti 997cc (In-line, 4-cylinder, liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valves) yang menghamburkan kuasa maksimum 200PS @ 13,500rpm dengan tork puncak 113Nm @ 11,500rpm. Enjin berprestasi tinggi itu kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan.
Pilihan warna yang ditawarkan ialah biru dan hitam untuk YZF-R1, manakala warna karbon untuk YZF-R1M. Harga untuk kedua-duanya adalah sebanyak 2,365,000 Yen dan 3,190,000 Yen, bersamaan RM 95,392.10 dan RM 128,668.42 pada kadar semasa.