Honda Wave 125i – kapcai pertama dilengkapi sistem PGM-FI

Pada tahun 2003, Honda telah memperkenalkan model kapcai Honda Wave 125i untuk pasaran Thailand. Apa yang menariknya mengenai model tersebut ialah ianya dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI, menjadikannya sebagai model kapcai pertama di pasaran dengan kelengkapan sistem suntikan bahan api elektronik.

Honda Wave 125i dilengkapi enjin empat lejang satu silinder bersesaran 125cc, bersama-sama sistem penyejukan udara dan transmisi empat kelajuan. Ianya turut dilengkapi sistem brek cakera di bahagian roda depan dan brek gelendong di bahagian roda belakang. Sehingga kini, Honda Wave 125i generasi baharu masih dijual di pasaran Thailand dan tampil dengan reka bentuk dan spesifikasi yang lebih menarik.

Untuk pasaran Malaysia, Honda Wave 125i generasi paling terkini dilancarkan pada tarikh 19hb. November 2018, dan didatangkan dalam dua varian iaitu Single Disc-Brake dan Double Disc-Brake. Harga asas yang ditawarkan adalah sebanyak RM 5,999.00 untuk varian Single Disc-Brake dan RM 6,299.00 untuk varian Double Disc-Brake.