Suzuki V-Strom 250 2020 di pasaran UK, harga £4,899

Suzuki V-Strom 250 merupakan model terkecil dalam siri V-Strom, hadir dengan enjin bersesaran 248cc (4-stroke, liquid-cooled, SOHC, parallel twin) dengan kuasa maksimum 25PS @ 8,000rpm dan tork 23.4Nm @ 6,500rpm. Enjin tersebut dilengkapi sistem suntikan bahan api dan dipadankan transmisi enam kelajuan.

Bertemakan pengembaraan, Suzuki V-Strom 250 ini bersedia untuk meredah trafik yang sibuk di bandar atau di jalan terbuka yang terbentang jauh. Dilengkapi tangki minyak dengan isian penuh 17.3 liter, V-Strom 250 dikatakan mampu pergi sejauh 310 batu (498.8 km). Dengan berat hanya 188 kg (kerb mass), jentera ini mudah dikendalikan.

Cermin penghadang angin pada V-Strom 250 menawarkan rekaan kompak, namun berkesan dalam memberikan perlindungan yang diperlukan. Paparan panel instrumen LCD digital memberikan pelbagai maklumat berguna termasuklah posisi gear, dwi-meter perjalanan, penggunaan bahan api purata, penunjuk masa penukaran minyak dan jam.

Untuk keselamatan, V-Strom 250 dilengkapi sistem ABS daripada Bosch yang ditugaskan bersama-sama brek cakera di bahagian depan dan belakang. Rim 10 bilah rekaan baharu dengan tayar tebal dalam siri 110/80-17M/C 57H (depan) dan 140/70-17M/C 66H (belakang) mampu memberikan cengkaman yang kuat di jalan raya untuk memberikan keyakinan dan kawalan yang lebih baik.

Sebagai sebuah model pengembaraan, V-Strom 250 turut ditawarkan dengan pek aksesori antaranya termasuklah Top Case Kit, Side Case Kit with Lock Set, Knuckle Guard Set dan Centre Stand. Pilihan warna yang tersedia pula ialah Pearl Nebular Black / Solid Dazzling Cool Yellow, Pearl Nebular Black dan Metallic Diamond Red.

Harga untuk Suzuki V-Strom 250 model tahun 2020 di pasaran UK adalah sebanyak £4,899, bersamaan RM 26,417.45 mengikut kadar semasa. Harga tersebut tidak termasuk kos aksesori.