Benelli memperkenalkan model baharu 251 S

Untuk musim 2020, rangkaian model 250cc keluaran Benelli kini telah menerima kehadiran ahli keluarga baru yang lebih sporty iaitu Benelli 251 S. Model naked ini menerima kemaskini dan penggayaan yang lebih menarik berbanding model BN 251.

Ini termasuklah kehadiran lampu LED rekaan baharu bersama-sama panel meter digital dan ekzos yang turut tampil dengan rekaan baharu. Kedudukan lokasi nombor plat juga lebih rendah yang memberikan penampilan lebih dinamik, manakala rekaan grafik kini lebih trendy dengan tiga pilihan warna menarik iaitu putih, hitam dan hijau.

Benelli 251 S 2020 dilengkapi enjin 249cc (single cylinder, 4 stroke, liquid cooled, 4 valves, double overhead camshaft) dengan sistem suntikan bahan api elektronik, seterusnya dipadankan kotak gear enam kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai angka 25.8hp @ 9,250rpm dengan tork 21.1Nm @ 8,000rpm.

Menurut Benelli, casis untuk model berkenaan telah direka semula untuk mencapai tahap pengendalian maksimum dan lebih responsif. Sistem suspensinya pula menampilkan fork depan jenis upside-down dengan diameter 41mm dan lengan ayun belakang digandingkan dengan monoshock boleh laras dengan travel 51mm.

Sistem brek pada 251 S memberikan jaminan yang diperlukan, apabila dipasangkan cakera berdiameter 280mm dengan angkup 4 piston di bahagian depan dan cakera 240mm dengan angkup piston tunggal di bahagian belakang. Rim aloi aluminium 17 inci menempatkan tayar depan dan belakang masing-masing dalam siri 110/70 dan 150/60.

Benelli 251 S model tahun 2020 ini bakal berada di pasaran bermula bulan Mac 2020.