JPJ tahu siapa pemilik motosikal roda tiga yang ditunggang warga asing

Masih ada kelibat warga asing yang tiada lesen memandu sah menunggang motosikal roda tiga di negara ini.

Ada yang angkut barang niaga, siap bawa penumpang dan paling biasa kita lihat ialah usung barangan kitar semula.

Ini bukan cerita semalam tapi terlalu lama berlarutan….

Satu perkara yang kita perlu tahu ialah JPJ memang tidak ada satu operasi khas untuk jenis kenderaan motosikal roda tiga yang ditunggang warga asing tanpa lesen memandu sah.

Adakah maksudnya golongan ini boleh berkeliaran bebas di jalan raya Malaysia sebegitu sahaja? Timbul satu lagi soalan: “Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) buat apa?”

Jawapannya, memang ada tindakan walaupun tiada satu operasi khas……

JPJ ada operasi khas yang dipanggil Operasi Warga Asing (Op PEWA) untuk membanteras warga asing tanpa lesen menunggang atau memandu di jalan raya.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli ada mengulas mengenai isu ini dan mengakui memang tidak ada satu operasi khas untuk warga asing tanpa lesen tunggang motor roda tiga.

Baca: JPJ umum tawaran Nombor Pendaftaran Istimewa siri ‘H

Beliau menyatakan:

“Bukan operasi untuk setakat motosikal tiga roda, sebab dia tak banyak dalam Malaysia. Tapi kalau kita dapat, kita rampas (dan) kita sita.”

Persoalan di sebalik mengapa kelibat penunggang warga asing dengan motosikal roda tiga masih berada di jalan raya, ini jawapan beliau:

“Kita tahu dia punya modus operandi, kita tahu kenderaan-kenderaan ini milik siapa. Memang kita ada maklumat-maklumat. Dan tindakan sentiasa diambil.

“Tindakan sentiasa diambil untuk memastikan pemandu-pemandu ini tidak berada di atas jalan raya.

“Kalau ikut statistik, memang banyak tindakan sudah diambil ke atas pemandu-pemandu ini. Mungkin hebahan itu yang tak sampai kepada rakyat.

“Jadi saya minta rakan-rakan media tolong sampaikan kepada rakyat.

Walaupun tak ada operasi khas untuk motor roda tiga, JPJ tetap ambil tindakan ikut peraturan-peraturan yang ada. Kiranya, JPJ bukan pejam sebelah mata biarkan golongan ini ‘pegang jalan’…