ARC Helmet tayang koleksi topi keledar XRS Star Wars Edisi Khas

ARC Helmet menayangkan koleksi topi keledar XRS terbaharu mereka iaitu ARC XRS Star Wars Special Edition sempena Malaysia Bike Show 2026 baru-baru ini.

Ada empat pilihan watak ikonik disediakan untuk topi keledar dewasa iaitu Darth Vader, BB-8, The Mandalorian dan Stormtrooper.

Harga untuk ARC XRS Star Wars Special Edition ialah RM370 dan boleh didapati bermula 4 Julai nanti.

Untuk siri remaja (Youth), ARC Helmet juga menawarkan koleksi topi keledar yang diinspirasi daripada watak popular seperti BB-8, The Mandalorian dan Grogu, Stormtrooper dan Darth Vader. Harga siri Youth bermula RM135 setiap satu.

Apa disebalik XRS ini?

Siri topi keledar XRS ini dibangunkan sepenuhnya pasukan ARC Helmet dengan fokus tumpuan kepada keperluan penunggang tempatan.

Mereka membuat kajian penuh sebelum penghasilan siri helmet XRS ini. Malah ini adalah model pertama jenama ARC yang dibangunkan mengikut piawaian dan standard keselamatan Eropah – ECE 22.06.

Apa ciri menarik XRS?

Topi keledar XRS menggunakan saiz cangkerang lebih besar, ada visor matahari dalaman boleh turun-naik, pinlock, mesra pemakai cermin mata dan boleh dibasuh (pelapik dalaman).

Model baharu ini mengetengahkan reka bentuk moden, aspek keselamatan dan keselesaan serta trend gaya hidup kebanyakan penunggang motosikal.

Siri XRS juga mengetengahkan ciri aerodinamik lebih baik termasuk aliran pengudaraan (keluar masuk) untuk membantu mengurangkan kepanasan dalam helmet semasa tunggangan.

Ini adalah hasil maklum balas diperoleh ARC Helmet sepanjang lebih 5 dekad berada dalam pasaran Malaysia. ARC ini ialah jenama dan syarikat berpangkalan di Pulau Pinang semenjak 1973.

Apa kata orang kuat ARC Helmet?

Lee Pei Wen mendedahkan koleksi XRS ini mencerminkan komitmen jenama ARC Helmet untuk melangkah selari dengan generasi baharu penunggang tanpa mengorbankan keyakinan dan sifat praktikal.

Beliau berkata:

“Cara penunggang berhubung dengan topi keledar pada hari ini sudah berubah dengan ketara. Aspek keselamatan dan keselesaan masih jadi ciri (pilihan) penting tapi penunggang pada hari ini juga mencari produk yang mencerminkan personaliti dan gaya hidup mereka.

“Dengan rangkaian XRS, kami mahu mencipta topi keledar yang lebih selamat yang mengimbangi keperluan harian dengan identiti reka bentuk yang lebih kuat. Pada masa sama, kekal setia pada apa yang sentiasa menjadi keutamaan ARC Helmet iaitu peralatan berkualiti untuk penunggang Malaysia.”

Koleksi Gambar