Selepas Johor, ada 2 lagi premis Honda BigWing bakal dibuka di Kedah dan Pulau Pinang

Boon Siew Honda (BSH) hari ini membuka cawangan terbaharu Honda BigWing di Senai, Johor iaitu premis pameran motosikal premium pertama mereka untuk tahun 2026.

Setakat ini, bilangan jumlah pengedar Honda BigWing di Malaysia sudah mencapai tujuh premis. Pembukaan terbaharu ini adalah cawangan Honda BigWing kedua di Johor.

Honda BigWing Senai dijangka mampu memenuhi keperluan pelanggan di selatan Malaysia serta komuniti penunggang dari Singapura.

Konsep ruang pameran jenis terbuka itu menempatkan koleksi model-model terbaharu Honda edisi 2026 termasuk motosikal dengan teknologi Honda E-Clutch.

Aspek servis motosikal dan skuter turut dipertingkat dengan sokongan rantaian bekalan alat ganti. Ada juga ruangan komuniti disediakan sebagai hab sosial untuk komuniti dan penunggang jentera Honda.

2 lagi Cawangan BigWing

Selain Senai di Johor, Honda juga ada rancangan membuka dua lagi bilik pameran BigWing di Pulau Pinang dan Kedah menjelang hujung tahun ini.

Tawaran Eksklusif Pembukaan Honda BigWing Senai

Sempena pembukaan rasmi Honda BigWing Senai, ada beberapa tawaran disediakan kepada mereka yang bercadang memiliki motosikal atau skuter Honda. Tawaran ini disediakan dalam masa terhad iaitu:

  • Rebat RM5,000 untuk Hornet CB750, CB650 E-Clutch dan CBR650R E-Clutch sehingga 31 Ogos 2026
  • Aksesori EMS dengan pembelian sama ada Honda NX500 atau Honda ADV350 sehingga 31 Ogos 2026
  • Diskaun 20 peratus untuk barangan gaya hidup dan alat ganti sehingga 24 Mei 2026

Lokasi dan Waktu Operasi

Premis terbaharu itu terletak di Jalan Persiaran Scientex Utama 1, Taman Scientex Utama di Senai, Johor. Waktu operasi Isnin hingga Ahad, dari 9:30 pagi hingga 7 petang.