ZXMOTO 500RR: Sportbike kelas pertengahan bakal jadi pilihan pengguna Malaysia?

Jenama ZXMOTO bakal membuat debut rasmi sempena acara Mforce MotoXperience 2026 semasa penganjuran Malaysia Bike Show (MBS) 2026 di MAEPS Serdang bermula 29 Mei hingga 1 Jun ini.

Seperti diketahui, Mforce Bike Holdings menyewa keseluruhan Dewan A dan acara pelancaran rasmi jenama ZXMOTO dijangka berlaku dalam dewan sama.

Kami pernah melaporkan sekurang-kurangnya tiga model akan dipamerkan iaitu ZXMOTO 500RR, 500F dan ZXMOTO 820RR.

Kali ini, kami cerita sedikit tentang ZXMOTO 500RR.

Ramai orang mengatakan ini pesaing terdekat model Kawasaki Ninja ZX-4RR dan KOVE 450RR dan CFMOTO 500RR di pasaran luar.

Ini empat warna pilihan untuk sportbike ZXMOTO 500RR.

Di Malaysia, belum tahu lagi apa kemampuan model baharu seperti ZXMOTO.

mungkin tiada masalah memikat peminat tempatan, lebih-lebih lagi generasi muda dan bakal pembeli baharu yang lebih gemarkan satu pakej menarik. Contoh terdekat… CFMOTO.

ZXMOTO 500RR ini ada potensi lebih baik kerana menjadi sebutan ramai gara-gara kemenangan ZXMOTO 820RR dalam kategori WorldSSP (Kejuaraan WSBK) baru-baru ini.

Video Pusing Keliling ZXMOTO 500RR

Selain jadi model popular semalaman, faktor kedua yang boleh lariskan ZXMOTO 500RR ialah harganya yang dikatakan bawah RM30,000. Harga masuk akal?

Kayu ukuran faktor harga ini ada kaitan dengan model sportbike 4-silinder sebaris QJMotor SRK450RR yang dijual Mforce pada harga badan RM25,888.

Satu perkara lagi yang perlu diketahui, strategi harga Mforce juga 20 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding pesaing utama dalam pasaran.

Mereka sering mengetengahkan satu mesej bahawa.. mereka mahu lebih ramai orang mampu beli motosikal idaman masing-masing.

Aspek servis selepas jualan? Salah satu fokus utama Mforce untuk tahun ini ialah penjenamaan dan tingkatkan aspek servis selepas jualan. Langkah pertama di Segambut. Seterusnya ialah Ipoh dan Johor Bahru.

Video Belanja Bunyi ZXMOTO 500RR

Jadi apa ada pada ZXMOTO 500RR ini? Mari kita lihat apa ada pada ZXMOTO 500RR:

  • Enjin jenis 4 silinder sebaris 470cc DOHC 16-injap dengan sistem penyejukan cecair dengan sistem pancitan bahan api (FI).
  • Kotak gear klac manual 6-kelajuan dengan klac Slipper
  • Output kuasa: 62kW (84hp) pada 13,500rpm
  • Tork puncak: 46Nm pada 11,500rpm
  • Fork depan jenis terbalik (USD) 41mm boleh laras prabeban dan redaman
  • Suspensi belakang jenis monoshock pada swingarm sebelah (single sided swingarm)
  • Rim aloi 17 inci tayar 120/70 (depan), tayar 180/55 (belakang)
  • Brek depan jenis cakera berkembar 300mm dengan kaliper Taisko 4-piston
  • Brek belakang cakera tunggal 220mm, Taisko dwi-piston
  • Dimensi panjang 2,005mm, lebar 705mm, tinggi 1,125mm
  • Jarak roda: 1,395mm
  • Tinggi Pelana: 800mm
  • Kapasiti tangki minyak: 15 liter
  • Berat kasar: 168kg
  • Berat bersih: 158kg

Galeri Gambar ZXMOTO 500RR