Suzuki GN160 (2027) tiba di Filipina, masih gaya klasik dengan tambahan ciri moden, harga mesra pengguna?

Suzuki GN160 (2027) ialah sebuah motosikal naked bike gaya klasik yang baru dilancarkan di Filipina dengan harga 125,000 peso (anggaran RM8,108).

Meneruskan legasi retro-klasik keluarga GN, model baharu GN160 ini menerima beberapa ciri moden termasuk Sistem Brek ABS (roda depan), rim aloi, lampu LED, sistem suntikan bahan api (EFI) dan soket USB.

Gayaan klasik yang masih dikekalkan sudah tentunya lampu depan berbentuk bulat, bentuk tangki minyak jenis tear drop dan tempat duduk jenis panjang.

Meter motosikal Suzuki GN160 menggunakan paparan analog dengan tambahan skrin digital bersaiz kecil. Ada soket USB Type-A.

Pilihan warna ada dua iaitu Metallic Matte Concrete Gray (kelabu) dan Pearlescent Black (hitam).

Kuasa Enjin Suzuki GN160

Suzuki GN160 (2027) menggunakan enjin 4-lejang 1 silinder tunggal 162cc SOHC 2 injap dengan sistem sejukan udara dan sistem suntikan bahan api.

Kotak gear digunakan ialah jenis klac manual dengan 5-kelajuan.

Kuasa maksimum Suzuki GN160 ialah 10.5 kW (14.3PS) pada 8,000rpm dan tork puncak 14.5Nm pada 6,500rpm.

Kapasiti minyak enjin ialah 1.2 liter.

Berapa Jauh dengan Satu Tangki Petrol?

Penggunaan petrol dikatakan satu liter boleh capai jarak 50.3km berdasarkan standard Kitaran Ujian Motosikal Dunia (World Motorcycle Test Cycle – WMTC).

Tangki minyak dibekalkan ialah 11 liter dan kalau buat kiraan kasar atas kertas, motosikal ini boleh capai jarak tunggangan sekurang-kurangnya 550km.

Angka jarak ini bukan sama setiap masa untuk setiap penunggang, ini aspek subjektif kerana banyak faktor di jalan raya akan mempengaruhi catatan penggunaan petrol.

Antaranya, perahan pendikit minyak (throttle) sama ada lebih berhemah atau agresif, kelajuan tunggangan, berat badan penunggang, pembonceng dan beban item lain yang dibawa bersama serta keadaan di sesuatu jalan raya termasuk cuaca.

Rim, Brek dan Suspensi

Suzuki GN160 menggunakan rim 18 inci untuk roda depan dan belakang, dipadankan dengan tayar saiz 80/100-18 (depan) dan 90/90-18 (belakang).

Fork jenis teleskopik biasa dengan pelindung getah dan imbangan belakang disokong oleh set absober berkembar yang boleh laras prabeban lima tahap.

Roda depan menggunakan brek cakera tunggal dan dilengkapi Sistem ABS satu saluran. Brek belakang masih jenis dram.

Dimensi Suzuki GN160

Motosikal ini menyediakan tempat duduk setinggi 760mm. Beratnya pula 128kg. Dua ciri ini membantu memudahkan lagi kawalan motosikal semasa tunggangan di kawasan trafik tinggi.

Ukuran jarak bumi ialah 178mm.

Panjang motosikal ialah 2,005mm, lebar 770mm dan tinggi 1,090mm.

Siapa ‘Kawan’ Suzuki GN160?

Mungkinkah Yamaha XSR 155 dan Kawasaki W175?

Gambar Suzuki GN160 (2027)