Malaysia bakal jadi pasaran ‘kegemaran’ ARIIC 400 GS?

ARIIC 400 GS

ARIIC seolah-olah memberi keutamaan kepada Malaysia untuk melihat perkembangan skuter ARIIC 400 GS lebih awal. Ini apa yang kami perhatikan dalam tiga acara berasingan sejak tahun lalu.

Pertamanya, Mforce Bike Holdings (Mforce) ‘berkongsi’ maklumat mengenai projek pembangunan skuter terbaharu ARIIC semasa majlis pelancaran jenama dan skuter ARIIC 318GT di Malaysia.

Pengumuman tentang projek skuter ARIIC 400 ini dibuat pada April 2025 oleh Ketua Pegawai Operasi Mforce, Asri Ahmad termasuk tayangan dua imej lakaran menggunakan nama ADT 400.

Keduanya, Mforce membawa sekumpulan media permotoran Malaysia ke China dan mereka berpeluang melihat debut global prototaip skuter ARIIC 400 di situ pada Disember tahun lalu.

Malah kumpulan media permotoran Malaysia diberi kebenaran untuk naik ke pentas dan merakam gambar serta video secara dekat.

Ketiga, semasa acara Mforce MotoXperience 2026 di MAEPS Serdang. Mforce ada membawa masuk model ARIIC 400 GS yang nampak seolah-olah menanti masa masuk barisan pengeluaran.

Sumber kami memaklumkan, model ARIIC 400 GS yang dipamerkan pada acara itu masih berstatus prototaip. Belum ada maklumat mengenai spesifikasi skuter adventure tersebut.

Ini adalah penampilan pertama model prototaip ARIIC 400 GS yang dikemas kini selepas debut di China. Khabarnya, peminat di mana-mana negara lain masih belum melihat prototaip terbaharu ini.

Mengapa ARIIC seolah-olah melihat model 400 GS ini sebagai satu produk istimewa untuk pasaran Malaysia? Adakah disebabkan trend skuter semakin berkembang sejak kebelakangan ini?

Artikel Berkaitan

Galeri Gambar ARIIC 400 GS di MAEPS Serdang

Galeri Gambar ARIIC 400 GS di China