Tukar minyak hitam boleh dapat perlindungan kemalangan peribadi, waranti enjin?

Tukar minyak hitam boleh dapat perlindungan kemalangan peribadi (PA) percuma dan waranti untuk enjin?

Bunyi macam mustahil tapi itu adalah antara kelebihan ditawarkan kepada mereka yang menyertai program Automaster Care. Boleh daftar di sini: Automaster.

Program ini disediakan syarikat Advanced Profinity yang juga adalah pengedar eksklusif minyak pelincir jenama Mannol dan Champion di pasaran tempatan.

Dalam program ini, peserta akan dapat perlindungan kemalangan peribadi, waranti perlindungan enjin dan khidmat komuniti dengan membuat pembelian minyak enjin Mannol atau Champion di bengkel rasmi mereka.

Kami difahamkan, tiga manfaat ini akan dinikmati pengguna kereta. Untuk pengguna atau pemilik motosikal, hanya DUA manfaat disediakan buat masa ini iaitu PA dan khidmat komuniti.

Waranti untuk enjin motosikal BELUM lagi ditawarkan buat masa ini.

Apa Tujuan Program Automaster Care?

Pengarah Urusan Advanced Profinity, Mohd. Harisfathimi Zakria menjelaskan:

“Automaster Care ialah satu inisiatif menyeluruh daripada Automaster yang direka khas untuk memperkasa ekosistem bengkel tempatan sekali gus memberi perlindungan dan ketenangan minda yang bermakna kepada pengguna.

“Idea ini tercetus daripada realiti pasaran hari ini di mana penjenamaan minyak enjin terlalu kompetitif dari segi harga dan promosi viral yang bersifat sementara.

“Kami mahu mengubah tabiat rutin menukar minyak hitam yang biasa menjadi satu bentuk perlindungan jangka panjang. Kami mahu pengguna tahu bahawa setiap ringgit yang mereka belanjakan bukan sekadar untuk membeli komoditi tetapi pelaburan untuk keselamatan enjin dan diri mereka.”

Apa Cerita Perlindungan Kemalangan Peribadi?

Apabila diminta mengulas mengenai pelan perlindungan kemalangan peribadi dalam program tersebut, ini jawapannya:

“Ini adalah keunikan utama kami. Setiap kali pelanggan melakukan servis penukaran minyak enjin Mannol atau Champion di bengkel rasmi, mereka secara automatik layak menerima Perlindungan Kemalangan Peribadi percuma selama 4 bulan yang diikat terus kepada pemilik kenderaan.

Penjelasan diberi turut menyenaraikan manfaat perlindungan kemalangan peribadi diberi iaitu:

  • Kematian akibat kemalangan: RM4,000
  • Cacat kekal menyeluruh: RM4,000
  • Patah tulang: sehingga RM1,500
  • Perbelanjaan pengebumian: RM1,000
  • Kos ambulans: RM300
  • Perbelanjaan perubatan: RM150

Waranti Enjin?

Program Automaster Care juga menyediakan jaminan untuk enjin jika berlaku kerosakan akibat minyak enjin. Ini penerangannya:

“Kami sangat yakin dengan kualiti dan teknologi produk kami. Oleh itu, melalui program waranti ini, kami menawarkan Perlindungan Pembaikan Enjin sehingga RM10,000 bagi setiap kereta.

“Jika ditakdirkan enjin kenderaan mengalami kerosakan dan siasatan teknikal telus membuktikan ia berpunca daripada minyak enjin kami, kos membaik pulih enjin tersebut akan ditanggung sepenuhnya di bawah program ini. Ini adalah jaminan kualiti mutlak yang memberikan peace of mind kepada pengguna.”

Selain itu, program ini juga menyediakan peluang kepada pelanggan mereka memberi sumbangan kepada pihak ketiga menerusi Community Reach Back Programme.

Harisfathimi menyatakan program ini mengandungi tiga matlamat utama yang ingin dicapai seperti berikut:

  • Pengguna: Dapat ketenangan minda sepenuhnya melalui perlindungan percuma bernilai tinggi.
  • Bengkel Rasmi: Ada kelebihan kompetitif untuk membezakan servis mereka dan menarik pelanggan berulang.
  • Jenama: Membina kesetiaan pelanggan jangka panjang yang telus dan berasaskan data.