Boon Siew Honda umum gudang alat ganti terbaharu mereka sudah siap dan sedia beroperasi

Boon Siew Honda (BSH) sudah menyiapkan fasiliti terbaharu yang akan menyokong aspek khidmat selepas jualan mereka untuk keperluan di seluruh negara.

Fasiliti itu ialah gudang alat ganti berpusat terbaharu milik BSH yang dibangunkan di ibu pejabat mereka di Pulau Pinang.

Bangunan itu sudah bersedia beroperasi membantu mempertingkatkan rantaian bekalan alat ganti motosikal dan skuter jenama Honda selain menguatkan ekosistem Honda.

Projek pembinaan gudang itu bermula pada Mei 2025 dan siap pada Mac 2026. Premis itu akan beroperasi pada bulan ini (Mei 2026).

Kemudahan berkeluasan 5,533 kaki persegi itu adalah 238 peratus lebih besar berbanding fasiliti penyimpanan alat ganti asal milik BSH.

Ini membolehkan BSH menyimpan lebih banyak inventori yang akan membantu meningkatkan lagi kecekapan, kesediaan operasi keseluruhan demi keperluan masa hadapan serta unjuran peningkatan permintaan menjelang tahun 2031.

Ruang simpanan dan susunan dikatakan lebih sistematik sekali gus membantu melancarkan lagi operasi proses masuk, penyimpanan dan proses keluar komponen (semua dalam satu operasi).

Ini juga membabitkan peningkatan kecekapan pengendalian dan penyelarasan merentasi fungsi perolehan, logistik dan selepas jualan.

Ini akan membantu pembekalan komponen untuk khidmat selepas jualan kepada lebih 114 pengedar Honda Impian X dan tujuh buah pengedar Honda BigWing di seluruh negara.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Kunitomo Asano berkata:

“Pengenalan Gudang Alat Ganti baharu kami merupakan langkah strategik dalam memperkukuhkan asas selepas jualan kami di Malaysia.

Seiring dengan perkembangan rangkaian kami, adalah penting untuk infrastruktur kami berkembang bagi menyokong pengedar dan pelanggan kami dengan lebih berkesan.

Kemudahan ini meningkatkan kecekapan operasi kami, meningkatkan kesediaan alat ganti dan
membolehkan kami memberikan pengalaman perkhidmatan yang lebih tinggi.”