Yamaha Tricity 300 (2026): Skuter pertama dunia ada beg udara, jualan mula pertengahan tahun 2026

Yamaha Tricity 300 (2026)

Yamaha muncul sebagai pengeluar skuter pertama dunia (pengeluaran massa) yang didatangkan dengan ciri keselamatan beg udara (air bag).

Yamaha mencipta sejarah itu dengan model skuter roda tiga iaitu Yamaha Tricity 300 (2026). Kejayaan itu dilakar menerusi kerjasama dengan syarikat Sweden iaitu Autoliv.

Yamaha Tricity 300 (2026) dijangka mula dijual pada pertengahan tahun ini di beberapa pasaran luar.

Siapa Autoliv?

Autoliv ini dikenali sebagai syarikat pembekal teknologi keselamatan automotif dunia seperti beg udara, tali pinggang keselamatan dan roda stereng terutamanya untuk segmen kenderaan empat roda (kereta).

Bagaimana Beg Udara (Air Bag) Berfungsi?

Komponen beg udara ini dipasang di bahagian tengah, bawah bar hendal. Ada teks tertera Air Bag di kawasan berkenaan (lihat gambar di bawah).

Ini menunjukkan Yamaha memindahkan tombol sistem kunci Tricity 300 dan beberapa butangnya ke sebelah kanan.

Posisi beg udara itu diletakkan di bahagian tengah untuk menghadap ke arah badan penunggang skuter Tricity 300.

Sistem beg udara ini menggunakan dua unit sensor G (G-Sensor) yang ada di bahagian tengah skuter.

Sensor ini akan mengesan kejadian nyahpecutan secara mendadak (rapid deceleration) yang menandakan ada berlakunya kejadian pelanggaran arah depan.

Jika bacaan melepasi parameter yang ditetapkan, isyarat akan dihantar ke ECU untuk mengaktifkan beg udara.

Apabila beg udara diaktifkan. beg akan mengembang ke atas untuk melindungi dada dan perut penunggang.

Tujuannya untuk kurangkan kesan penunggang terhentak di bahagian hendal atau permukaan keras yang lain.

Realiti Sebenar Beg Udara Yamaha Tricity 300

Bukan semua teknologi itu sempurna. Masih ada kelemahan yang kami perlu ceritakan demi kesedaran dan manfaat penunggang skuter.

Sistem beg udara Yamaha Tricity 300 ada kelemahan tersendiri. Ia hanya berfungsi dalam keadaan tertentu sahaja. Bukan semua situasi pelanggaran.

Beg udara akan mengembang apabila berlakukan pelanggaran arah depan atau frontal impact.

Beg udara tidak aktif seandainya berlaku pelanggaran arah belakang atau sisi. Beg udara juga tak mengembang bila skuter terbalik atau tidak ikut parameter ditetapkan.

Beg udara cuma lindungi penunggang dan bukannya pembonceng.

Apa Menarik Tentang Yamaha Tricity 300 (2026)?

  • Aspek teknikal enjin dikenalkan iaitu jenis satu silinder 292cc Blue Core yang menghasilkan kuasa 28hp dan tork 29Nm.
  • Transmisi jenis CVT automatik.
  • Ada perubahan pada bahagian ekzos dengan catalytic converter (penukar bermangkin) baharu menepati piawaian emisi Euro5+.
  • Menggunakan paparan meter TFT berwarna 4.2 inci dengan LCD 2.8 inci.
  • Boleh disambung dengan telefon pintar dan ada sistem Navigasi Garmin.
  • Lampu LED penuh
  • Sistem IMU untuk Sistem Brek ABS Belokan (Cornering ABS)
  • Unified Braking System (UBS)
  • Ruang simpanan bawah tempat duduk 45 liter.
  • Rekaan baharu untuk bahagian depan yang nampak lebih agresif. Panel sisi ditambah baik.

Honda Bangunkan Skuter Siap Beg Udara?

Tapi… Yamaha sebenarnya bukan pengeluar motosikal pertama di dunia memperkenalkan ciri beg udara pada kenderaan dua roda. Ini satu hakikat yang perlu kita akui.

Pesaing senegara mereka, Honda sudah melakukannya pada model Gold Wing (GL1800) dan mula menjual motosikal itu antara tahun 2007 (Amerika Syarikat) dan 2008 (Jepun).

Malah Honda semasa acara Honda Meeting 2017 pada awal bulan Jun tahun tersebut didakwa ada menunjukkan skuter Honda PCX yang sudah dilengkapi ciri sistem beg udara.

Beg udara pada Honda PCX itu adalah hasil kerjasama dengan Autoliv. Sehingga kini, skuter Honda dengan beg udara masih belum kelihatan… masih dalam kajian atau sekadar prototaip?