
Dua model supersport jenama KOVE akan memasuki pasaran Jepun bermula bulan Ogos ini iaitu KOVE 350RR dan KOVE 450RR edisi 2026.
Kedua-dua model KOVE itu sudah menerima status penarafan Euro 5+. Di Jepun, syarikat yang menguruskan dan menawarkan produk jenama KOVE ialah Baton Trading (KOVE Japan).
Sebelum ini, KOVE Japan cuma menawarkan barisan motosikal dalam segmen rali, adventure-touring dan scrambler termasuk versi off-road.
Kedatangan KOVE 350RR dan KOVE 450RR akan membuka segmen baharu untuk KOVE di Jepun. Satu langkah berani bawa jenama China masuk ke pasaran Jepun.
Adakah pengguna Jepun akan terima produk China seperti KOVE berbanding jenama asal mereka sendiri – Honda, Kawasaki, Yamaha dan Suzuki? Kita tunggu dan lihat selepas ini.
HARGA KOVE
- KOVE 350RR: ¥798,000 (anggaran RM19,736)
- KOVE 450RR: ¥1,078,000 (anggaran RM26,661)
KOVE 350RR

KOVE 350RR mencipta nama yang kuat selepas dinobatkan sebagai juara WSBK-SSP300 (Supersport 300 World Championship) tahun 2025.
KOVE 350RR menggunakan enjin 2 silinder sebaris yang menghasilkan 47.5hp iaitu kuasa lebih tinggi berbanding Honda CBR400R (46hp).
Antara ciri model ini ialah fork depan jenis terbalik (USD) 37mm, brek cakera depan dan belakang, frem keluli trellis, ada Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Kawalan Cengkaman (TCS).
KOVE 450RR

KOVE 450RR menggunakan enjin 4-silinder sebaris dengan output kuasa 66.6hp pada 13,500rpm.
Julat rev boleh sampai sehingga 16,000rpm (redline) dan ada sistem Ram-Air yang janaan bekalan kuasa yang diperlukan untuk kelajuan tinggi.
Frem motosikal sport ini diperbuat daripada keluli rintangan tinggi dan swingarm terhasil daripada bahan aluminum.
Fork depan jenis USD 4mm jenama KYB dan monoshock belakang, kedua-dua jenis suspensi boleh laras sepenuhnya. Ada sistem Quick Shifter dwi-arah, Kawalan Cengkaman dan beberapa ciri lain.

