
Yamaha SR400 ialah antara model ikonik yang terpaksa dihentikan tawaran apabila tidak lagi mampu memenuhi syarat-syarat terbaru yang ditetapkan pihak berkuasa.
Yamaha SR400 diperkenalkan pada tahun 1978 sebelum diumumkan akan ditamatkan pengeluaran pada tahun 2021. Motosikal ini sudah berada di pasaran global sepanjang 43 tahun.
Antara penyebab model ini dihentikan pembuatan ialah syarat wajib memiliki Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) yang harus dipenuhi bermula 1 Oktober 2021 di Jepun.
Mengikut laporan, Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun (MLIT Japan) ada membuat rombakan standard keselamatan untuk pengangkutan jalan pada Januari 2015.
Ini ringkasan apa yang ditetapkan:
- Motosikal baharu atas 125cc wajib ada ABS berkuat kuasa 1 Oktober 2018
- Motosikal baharu bawah 125cc harus ada ABS atau CBS (Combined Braking System).
- Motosikal sedia ada di pasaran diberi tempoh sehingga 1 Oktober 2021.
Selain faktor wajib ada ABS, keputusan mengetatkan peraturan kawalan emisi bermula November 2022 juga dikatakan sebab kedua mengapa Yamaha tamatkan Yamaha SR400.
Yamaha bukannya tidak berusaha untuk menyelamatkan hayat Yamaha SR400. Antara usaha mereka cuba lakukan ialah menukar sistem karburator kepada suntikan bahan api pada tahun 2010.
Usaha juga dibuat dengan memasang kanister dan komponen lain pada Yamaha SR400 pada tahun 2018 untuk memenuhi peraturan kawalan emisi 2016.
Bagaimanapun, ciri-ciri motor lama Yamaha SR400 agak sukar membolehkan model ini terus mengharungi peredaran zaman, peralihan teknologi serta penetapan standard kawalan pihak berkuasa.
Tidak dinafikan faktor kos yang perlu dilaburkan untuk menyelamatkan model ini juga antara sebab hayatnya ditamatkan. Kalau tak silap, Yamaha pernah berkata….
“…..amat sukar untuk kekalkan karakter SR mengikut model semasa….”
Sebelum mengundur diri daripada pasaran dunia, Yamaha memberi peluang kepada peminat dengan menawarkan dua varian sebelum mengucapkan sayonara.
Dua varian itu ialah Yamaha SR400 Final Edition dan Yamaha SR400 Final Edition Limited yang pernah menemui peminat pada 15 Mac 2021.
Cerita ringkas mengenai Yamaha SR400 Final Edition ada di sini. Tidak lupa juga satu varian istimewa diperkenalkan di Thailand untuk Yamaha SR400 iaitu Black Gold Limited Edition.
SPESIFIKASI RASMI YAMAHA SR400
| Yamaha SR400 (2022) | |
|---|---|
| Enjin | 1 silinder, SOHC 2 injap 4-lejang |
| Kapasiti | 399cc |
| Kuasa maksimum | 17.5kW @ 6,500rpm (23.5hp) |
| Tork maksimum | 27.8Nm @ 3,000rpm |
| Bore x Stroke | 87mm x 67.2mm |
| Nisbah mampatan | 8.5 : 1 |
| Sistem bahan api | EFI |
| Sistem penyejukan | Sejukan udara |
| Kotak gear | 5 kelajuan |
| Suspensi depan | Fork teleskopik biasa |
| Suspensi belakang | absorber kembar |
| Tayar depan | 90/100 -18 |
| Tayar belakang | 110/90- 18 |
| Brek depan | Cakera |
| Brek belakang | drum |
| Panjang | 2,085mm |
| Lebar | 750mm |
| Tinggi | 1,100mm |
| Jarak dari bumi | 130mm |
| Jarak roda | 1,410mm |
| Tinggi tempat duduk | 790mm |
| Tangki minyak | 12 liter |
| Berat kasar | 175kg |
| Bonus | - Ada penendang kaki - Tiada butang pemula enjin - Tiada ABS |





















