SYM NH-R 300 (2026): 10 ciri menarik tentang motosikal dual purpose jenama Taiwan

SYM meneroka motosikal dwi-kegunaan dengan tawaran model SYM NH-R 300 (2026) yang diinspirasi daripada motosikal rali.

Motosikal SYM NH-R 300 ini dikatakan dapat mengimbangi keperluan kegunaan harian pengguna dan juga boleh memenuhi keinginan kembara hari cuti ke destinasi-destinasi baharu.

SIAPA SASARAN PEMBELI SYM NH-R 300?

  • Mereka yang mencari motosikal dwi-kegunaan versatil untuk kegunaan di bandar dan off-road ringan.
  • Mereka yang ingin mendekati kembara-rali dengan lebih serius tetapi pada masa sama mencari motosikal yang tidak begitu berat dan tinggi.
  • Mereka yang mencari model dengan kos perbelanjaan tidak membebankan terutama untuk baik pulih, penyelenggaraan berkala dan penggunaan bahan api.

APA ANDA PERLU TAHU TENTANG SYM NH-R 300?

Ada 10 ciri menarik yang disertakan pada model SYM NH-R 300 (2026) dan kami sertakan penerangan di bawah ini:

1. Reka Bentuk Baharu

SYM NH-R 300 mengetengahkan rekaan bahagian depan gayaan agresif robot Mecha untuk menampakkan personaliti lebih muda.

Penggunaan penutup sisi berbentuk blok menguatkan imej motosikal kukuh dan menampakkannya lebih rugged.

Imej motosikal ini mengambil inspirasi daripada barisan motosikal rali. Rekaan ini turut menyokong postur tunggangan terbaik (tegak dan tinggi) serta membolehkan daya penglihatan yang lebih baik di atas pelbagai permukaan bumi.

2. Penghadang Angin Sport Kompak (Windshield)

Penghadang angin jenis smoked dipasang untuk menambah baik gaya dan keselesaan menunggang. Komponen ini membuatkan SYM NH-R 300 nampak agresif.

3. Frem Perimeter

SYM NH-R 300 menggunakan frem perimeter ketegaran tinggi dan ringan untuk menambah baik ketahanan motosikal, ketepatan kawalan dan estetika mekanikal.

Frem ini membantu penunggang mendapat kawalan motosikal lebih lincah dalam trafik bandar dan kestabilan prestasi semasa tunggangan kelajuan sederhana-tinggi.

Swingarm (lengan ayun) diikat pada casis, membantu meningkatkan ketegaran casis dan meningkatkan ketegaran motosikal secara menyeluruh. Bahagian belakang jadi lebih stabil.

4. Naik Taraf Transmisi

Kotak gear ditingkatkan daripada lima kelajuan menjadi enam kelajuan. Ini membuatkan SYM NH-R 300 lebih berdaya tahan.

Dengan tambahan gear, nisbah gear SYM NH-R 300 juga menjadi lebih rapat berbanding model asas. Ini menambah baik pengalaman menunggang secara menyeluruh.

5. Plet Pelindung Enjin (Skid plate) dan Pelindung Tangan (Handguard)

SYM NH-R 300 dilengkapi plet pelindung enjin (skid plate) dan pelindung tangan (handguard) untuk keperluan menunggang dipermukaan mencabar.

Plet logam pelindung di bawah enjin ini jenis tahan lasak dan melindungi bahagian bawah enjin daripada terkena impak batu.

6. Tempat Duduk Ditambah Baik

Tempat duduk SYM NH-R 300 menggunakan busa yang lebih tebal untuk memberi keselesaan terutama semasa tunggangan jarak jauh.

7. Sistem Pencahayaan LED Penuh

SYM NH-R 300 menggunakan sistem pencahayaan LED untuk lampu depan, lampu brek, lampu signal dan lampu kedudukan (position light). Ini membantu menambah baik pencahayaan semasa tunggangan malam dan meningkatkan keselamatan penunggang.

8. Paparan Meter LCD Baharu

SYM NH-R 300 kini menggunakan meter paparan digital jenis LCD.

9. Tangki Minyak Lebih Besar

SYM NH-R 300 dipasang tangki minyak sebesar 14 liter yang membolehkan penunggang menuju destinasi mereka tanpa perlu kerap berhenti membuat isian petrol.

10. Soket USB Type-A dan Type-C

Menggunakan soket pengecasan pantas 3.0 dan USB Type-C.

SPESIFIKASI SYM NH-R 300 (2026)

Spesifikasi penuh motosikal dwi-kegunaan SYM NH-R 300 (2026) kami siarkan di halaman sebelah (klik di sini): Spesifikasi SYM NH-R 300 (2026)