Aveta jadi pengedar rasmi Peugeot Motocycles di Malaysia

Aveta sudah menjadi pengurus barisan produk Peugeot Motocycles di pasaran Malaysia.

Perkembangan ini dimaklumkan selepas selesai majlis menandatangani kerjasama strategik antara Aveta International Sdn. Bhd. (Aveta) dan Peugeot Motocycles.

Produk pertama dua roda jenama Peugeot akan membuat kemunculan pada suku pertama tahun 2026. Skuter?

Cerita ini sebenarnya sudah diketahui lebih awal menerusi penerangan di ruang Facebook Peugeot Motorcycles. Cuma… kami serta media lain tunggu sahaja hebahan rasmi.

Mengapa Peugeot Motocycles Pilih Aveta International?

Pengarah APAC Peugeot Motocycles, Judah Immanuel Sangaran berkata:

“Asia merupakan rantau yang signifikan dalam strategi pengembangan jangka panjang kami, dan Malaysia memainkan peranan utama dalam pelan tersebut.

“Kami mencari rakan kerjasama yang mempunyai nilai profesionalisme, tadbir urus yang cekap, pemahaman pasaran yang mendalam serta keupayaan pelaksanaan yang terbukti dalam industri.

“Aveta International memenuhi kesemua ciri-ciri tersebut menerusi tenaga kerja yang mahir dan keupayaan pemasaran yang holistik untuk Peugeot Motocycles.

“Kami yakin pengguna di Malaysia bakal menikmati pengalaman pemilikan yang premium dan autentik merangkumi jualan, servis serta khidmat pelanggan yang mematuhi piawaian global jenama kami.”

Apa Kata Orang Kuat Aveta?

Pengarah Urusan Kumpulan Aveta International, Steven Lim:

“Kami berbesar hati untuk menerajui Peugeot Motocycles di Malaysia. Jenama ini menepati portfolio kami yang semakin berkembang serta mampu menyerlahkan komitmen Aveta dalam menawarkan pengalaman pemilikan bertaraf dunia.

“Fokus kami jelas bagi memastikan setiap penunggang dapat menikmati reka bentuk dan kejuruteraan premium dari Perancis, disokong oleh penubuhan stor flagship Peugeot Motocycles di lokasi terpilih.

“Kerjasama ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Aveta dalam pasaran, malah berpotensi tinggi meningkatkan nilai mobiliti urban dalam kalangan penunggang di Malaysia.”

Produk Peugeot Mampu Milik?

Kenyataan yang dikirim sebentar tadi ada menyatakan beberapa poin dan maklumat mengenai jenama Peugeot Motorcycles iaitu:

  • Membawa reka bentuk dan kejuruteraan Perancis premium kepada penunggang tempatan.
  • Memberi
tumpuan kepada pengalaman tunggangan yang berkualiti merangkumi keselesaan, keselamatan dan gaya moden.
  • Perkhidmatan selepas jualan yang komprehensif melalui rangkaian servis Aveta
International di seluruh negara.
  • Bakal memperkenalkan pelbagai pilihan premium dan
mampu milik kepada pengguna dengan piawaian yang konsisten di peringkat
global.

Apa Cerita Sebalik Peugeot Motocycles?

  • Peugeot Motocycles memiliki lebih 3,000 lokasi jualan di seluruh dunia, termasuk 250 pengedar di Perancis.
  • Ada 3 hab pengeluaran (kilang pembuatan) global iaitu Perancis, China dan Vietnam.
  • Model premium Peugeot Metropolis, XP400 dan Pulsion dihasilkan di Perancis.
  • Django Classic dan Speedfight dibuat di China dan Vietnam.
  • 67 peratus jualan Peugeot Motocycles datang daripada pasaran antarabangsa.
  • Peugeot Motocycles ditubuhkan pada tahun 1898 dan membawa legasi kejuruteraan, reka bentuk dan inovasi dari Perancis.
  • Berteraskan falsafah ‘Allure’, jenama ini memainkan peranan penting dalam mencorak mobiliti urban masa kini dengan rangkaian model yang menggabungkan praktikaliti dan reka bentuk elegan.
  • ‘Allure’ memberi fokus kepada gaya bermakna, inovasi berjiwa dan ekosistem mobiliti berlandaskan gaya hidup moden.