
Modenas menjadi nama terbaru dalam sebutan untuk segmen supermoped di Malaysia selepas penampilan model Modenas Z15GT (2025) pada minggu akhir bulan lalu.
Ini adalah hadiah Modenas kepada pengguna Malaysia selepas penantian yang agak lama. Jadi, apa yang ada pada model supermoped ini sehingga menjadi topik perbincangan panas?
Modenas Z15GT akan bersaing dengan tiga model supermoped sekelasnya. Dua daripadanya sudah nyata diketahui umum iaitu Yamaha Y15ZR dan Honda RS-X Winner.
Sebenarnya, ada satu lagi model yang sedang dijadikan perbandingan dengan Modenas Z15GT iaitu Voge FR150 Formica Rossa. Lebih-lebih lagi apabila ada promosi rebat harga untuk Voge FR150.
Dalam artikel ini, kru kami akan membuat perbandingan antara model Modenas Z15GT dan Voge FR150 Formica Rossa. Jom kita lihat harga terlebih dulu
PERBANDINGAN HARGA
- Harga badan untuk Voge FR150 Formica Rossa ialah RM8,888 yang diumumkan semasa supermoped itu mula diperkenalkan pada tahun 2024.
- Sekarang ada promosi yang memberi rebat RM700 untuk Voge FR150 sekali gus membuatkan harga badannya turun kepada RM8,188. Tapi promosi ini hanya sehingga hujung bulan ini.
- Modenas mengumumkan harga badan Z15GT sebanyak RM8,288. Pakej harga ini ternyata antara terendah di antara 4 model supermoped ini (selepas tamat kempen rebat RM700 Voge).
- Harga badan ini tidak termasuk cukai jalan, insurans dan kos pendaftaran.
PILIHAN WARNA
Voge FR150 Formica Rossa dan Modenas Z15GT masing-masing didatangkan dengan tiga warna pilihan. Ini senarai nama warnanya:
- Voge FR150: Heat Red (merah), Canary Yellow (kuning) dan Bold Blue (biru)
- Modenas Z15GT: Graphite Grey (kelabu gelap), Nardo Grey (kelabu lembut|) dan Rosso Red (merah)
APA CIRI MENARIK
Di sini, kami akan menunjukkan apa keunikan dua model ini sebagai perbandingan asas. Kita bermula dengan:
SISTEM PENCAHAYAAN
- Voge FR150
- Modenas Z15GT
- Voge FR150 dan Modenas Z15GT menggunakan sistem pencahayaan LED penuh. Kedua-duanya ada lampu nyalaan siang (DRL).
- Malah dua model ini mengasingkan kedudukan lampu rendah dan lampu tinggi. Lampu rendah dipasang di bahagian kepala. Lampu tinggi pula di bahagian dada depan.
- Perbezaannya ialah Voge FR150 menggunakan lampu depan jenis projektor LED. Ini membuatkan pancaran cahaya nampak lebih kemas dan terang. Video lampu ini ada dalam pautan ini: lampu Voge.
METER DIGITAL
- Voge FR150 dipasang meter digital LCD bersaiz besar dengan latar hitam.
- Untuk Modenas Z15GT, supermoped itu menggunakan meter LCD tetapi saiznya lebih kecil dan latar warna biru.
SUIS KAWALAN
- Secara asasnya, butang pada kedua-dua konsol kawalan antara model Voge FR150 dan Modenas Z15GT tidak banyak beza.
- Perbezaan utama cuma satu iaitu butang lampu kecemasan (Hazard Light) Voge jenis tolak dan ada di konsol sebelah kanan.
- Lampu Hazard untuk Z15GT jenis butang tekan (masuk-keluar) diposisikan di konsol sebelah kiri.
SOKET USB
- VOGE FR150
- MODENAS Z15GT
- Kedua-dua model ada soket USB Type-A. Cuma berbeza lokasi soket USB iaitu Voge FR150 di bahagian tengah kepala iaitu di bawah meter LCD (gambar kiri).
- Modenas Z15GT punya soket USB ada diposisi sebelah kiri iaitu kawasan bertentangan dengan tempat kemasukan kunci motosikal (gambar kanan).
BAKUL
- Voge FR150 ada didatangkan dengan bakul atau raga standard walaupun saiznya agak terbatas. Sekarang ada beberapa jenama aksesori sudah menyediakan bakul alternatif, antaranya GIVI.
- Untuk Modenas Z15GT, pemilik perlu pasang sendiri bakul atau raga aftermarket yang bersesuaian. Ini tidak akan mengambil masa lama jika melihat pada respons semasa Z15GT.
SISTEM KEKUNCI
- Sistem kekunci Modenas Z15GT bukannya keyless 100 peratus seperti Voge FR150.
- Sebabnya, pemilik tetap perlu menekan butang pada alat kawalan jauh sebelum menekan dan memusingkan tombol kekunci pada motosikal.
- Lepas tekan remote Z15GT, baru boleh masuk kunci atau pusing tombol. Modenas panggil sistem ini sebagai remote key.
- Sistem kekunci Voge FR150 Formica Rossa pula lebih mudah. Jalan dekat motor, tekan dan pulas tombol. Sama macam kebanyakan sistem tanpa kekunci motosikal/skuter lain.
TEMPAT DUDUK
- Tempat duduk atau pelana Voge FR150 menggunakan balutan material lebih kasar berbanding balutan Modenas Z15GT.
- Kedua-duanya memang selesa tetapi dirasai span yang ada di dalam pelana Voge adalah lebih tebal/banyak.
SISTEM ABS
- Seperti semua orang tahu, dalam segmen supermoped 150cc ketika ini… Voge FR150 adalah satu-satunya model yang dilengkapi sistem brek ABS depan-belakang.
- Modenas Z15GT didatangkan dengan sistem ABS untuk roda depan. Faktor ketiadaan ABS untuk roda belakang mungkin ada kaitan dengan kos harga. Jika ditambah, harga badan akan jadi lebih mahal.
SISTEM SUSPENSI
- Modenas Z15GT dan Voge FR150 masing-masing menggunakan fork teleskopik biasa (depan) dengan sistem penyerap hentak tunggal (monoshock) di belakang.
TANGKI MINYAK
- Tangki minyak Modenas Z15GT nampak amat besar tetapi saiznya ada perbezaan yang amat kecil dengan Voge FR150 iaitu 0.1 liter.
SISTEM KLAC
- Voge FR150 dilengkapi ciri klac Assist & Slipper (A&S) yang melembutkan dan melancarkan lagi proses penukaran gear. Ini satu ciri bonus yang ada pada Formica Rossa.
- Supermoped Modenas Z15GT tiada ciri klac A&S. Bukan Modenas tidak boleh tambah ciri ini tetapi ia akan beri kesan pada kos dan harga motosikal. Mungkin pada varian lain yang akan datang?
SPESIFIKASI PENUH
Apa jua yang anda baca dan lihat di sini, adalah sekadar untuk perkongsian maklumat. Beli motosikal ikut kemampuan dan keperluan anda. Jadi pembeli bijak.
| Voge FR150 | Modenas Z15GT | |
|---|---|---|
| Enjin | 1 silinder, DOHC, 4-injap | 1 silinder, DOHC, 4-injap |
| Kapasiti | 149.6cc | 149.5cc |
| Kuasa maksimum | 11.5kW @ 8,500rpm (15.6hp) | 12.5kW @ 9,500rpm (16.7hp) |
| Tork maksimum | 13.5Nm @ 7,500rpm | 13.5Nm @ 7,500rpm |
| Bore x Stroke | 57.3mm x 58mm | 58mm x 56.6mm |
| Nisbah mampatan | 11.3 : 1 | 12.6 : 1 |
| Sistem bahan api | EFI | EFI |
| Sistem penyejukan | Sejukan cecair | Sejukan cecair |
| Kotak gear | 6 kelajuan klac tangan | 6 kelajuan klac tangan |
| Suspensi depan | Fork teleskopik biasa | Fork teleskopik biasa |
| Suspensi belakang | Monoshock | Monoshock |
| Tayar depan | 90/80 -17 | 90/80 -17 |
| Tayar belakang | 120/70-17 | 120/70-17 |
| Brek depan | Cakera 244mm | Cakera |
| Brek belakang | Cakera 203mm | Cakera |
| Panjang | 1,958mm | 1,980mm |
| Lebar | 679mm | 670mm |
| Tinggi | 1,116mm | 1,100mm |
| Jarak dari bumi | 145mm | 140mm |
| Jarak roda | 1,290mm | 1,315mm |
| Tinggi tempat duduk | 795mm | 780mm |
| Tangki minyak | 5.8 liter | 5.7liter |
| Berat | 123kg | 128kg |
| Bonus | - Ada klac Assist & Slipper - Ada ABS roda depan-belakang - Ada USB | - Tiada klac Assist & Slipper - Ada ABS roda depan saja - Ada USB |



























